Kenyataan awam ini melahirkan kebimbangan Dr. Farah Nini Dusuki, Pesuruhjaya Kanak-Kanak berhubung dengan liputan media mengenai kes seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang ditahan kerana memandu kereta dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun yang menyamar sebagai seorang pegawai perubatan di hospital.
Menurut beliau, kanak-kanak tersebut telah ditampilkan di media dengan cara yang menyedihkan walaupun mereka tidak bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakan mereka. Kesalahan kanak-kanak lelaki tersebut berlaku disebabkan oleh kecuaian ibu bapanya, manakala kanak-kanak perempuan yang menyamar sebagai pegawai perubatan itu pula telah disahkan oleh Polis Diraja Malaysia pernah menerima rawatan psikaitri namun beliau tidak menjalani rawatan susulan.
Pesuruhjaya Kanak-Kanak menyatakan bahawa Seksyen 15(2) Akta Kanak-Kanak [Akta 611] jelas melarang pihak media daripada melaporkan atau menyiarkan gambar kanak-kanak yang terlibat dalam prosedur perundangan, yang dilindungi dan berada dalam pemulihan atau yang bertindak di luar kawalan, dalam mana-mana kes sekali pun. Ujar beliau lagi, pelanggaran kepada peruntukan ini merupakan satu kesalahan jenayah, yang boleh dihukum dengan denda sehingga RM 10,000.00, penjara lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, Malaysia sebagai salah sebuah negara pihak kepada Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) sejak tahun 1995 komited dalam memastikan bahawa tiada kanak-kanak dikenakan layanan yang menjatuhkan maruah walaupun kanak-kanak tersebut berkonflik dengan undang-undang, seperti yang digariskan dalam Perkara 37 CRC.
Selain daripada itu, Pesuruhjaya Kanak-Kanak mengambil maklum mengenai pihak PDRM yang telah mengambil tindakan yang sewajarnya dalam melindungi identiti kanak-kanak yang terlibat. Namun, pelaporan dan penyiaran media yang berlaku berada di luar kawalan pihak PDRM.
Pesuruhjaya Kanak-Kanak menggesa supaya pihak media mematuhi Akta 611 dalam semua pelaporan yang melibatkan kanak-kanak. Pelanggaran undang-undang yang berterusan oleh pihak media tanpa sebarang tindakan tegas ini sesungguhnya membimbangkan.
Oleh itu, Pesuruhjaya Kanak-Kanak menyeru supaya tindakan penguatkuasaan tegas dijalankan berpandukan kepada Seksyen 15 Akta 611 bagi menghalang insiden seumpama itu daripada terus berulang. Pesuruhjaya Kanak-Kanak memaklumkan bahawa beliau sedia bekerjasama dengan Institut Akhbar Malaysia (MPI) dalam menyediakan latihan kepada pihak media bagi memberi kefahaman undang-undang yang berkaitan hak kanak-kanak kepada pengamal media di Malaysia.
Kenyataan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) No. 16 ini boleh didapati dalam Pusat Media di laman sesawang rasmi SUHAKAM dalam bahasa Melayu dan juga dalam bahasa Inggeris. Terima kasih.