13 September 2024 - Kekesalan terhadap Modus Operandi Rumah Amal Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH)

Dalam kenyataan media Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Dr. Farah Nini Dusuki, Pesuruhjaya Kanak-Kanak melahirkan rasa kesal berhubung dengan isu kanak-kanak yang menjadi mangsa penganiayaan di rumah amal Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH). Media Malaysia melaporkan bahawa siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan bahawa mangsa kanak-kanak di rumah-rumah amal tersebut bukan sahaja diajar dan dididik cara untuk meliwat, malahan mereka turut diliwat oleh penjaga dan seterusnya dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak yang lain.

Dilaporkan bahawa seramai 402 orang kanak-kanak daripada 20 buah rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan telah berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa. Pesuruhjaya kanak-kanak menyatakan bahawa jumlah sebenar mangsa kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan seksual tidak dapat dibayangkan lagi kerana GISBH diketahui umum bergerak aktif di seluruh Malaysia dan di peringkat global.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak PDRM dan rakan strategik yang terdiri daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan Jabatan Kimia Malaysia atas tindakan pantas mereka dalam menyelamatkan kanak-kanak yang menjadi mangsa dalam kes ini.

Nota Sidang Media (OP Global) oleh pihak PDRM menyatakan bahawa sebanyak 41 laporan polis telah dibuat terhadap GISBH sejak tahun 2011 hingga 7 September 2024. Dalam hal ini, Pesuruhjaya Kanak-Kanak memohon pihak PDRM supaya memaklumkan mengenai hasil siasatan dan tindakan yang telah diambil berhubung dengan laporan-laporan itu.

Sebagai entiti utama yang bertanggungjawab dala mempromosi dan melindungi hak kanak-kanak di Malaysia Pesuruhjaya Kanak-Kanak menegaskan bahawa:

  • Fokus utama iaitu memastikan kepentingan terbaik mangsa kanak-kanak ini sentiasa terpelihara, oleh itu penting sekali semua proses pengendalian mangsa kanak-kanak termasuk siasatan terhadap pemerolehan bukti jenayah terhadap pemangsa dijalankan mengikut prosedur yang sewajarnya yang bersifat mesra kanak-kanak atau child-friendly; dan
  • Rawatan kaunseling dan psikologi terhadap mangsa kanak-kanak perlu dipastikan dapat membantu memulihkan trauma kanak-kanak dan membolehkan mereka membuka lembaran hidup yang baru.
Selain itu, Pesuruhjaya Kanak-Kanak mengesyorkan seperti yang berikut berhubung dengan kes GISBH ini:
  • Penempatan di rumah kanak-kanak adalah sesak dan berisiko menambahkan trauma kepada kanak-kanak maka sistem penjagaan berdasarkan kepada keluarga (family based-care) penting untuk memastikan halatuju penjagaan semua kanak-kanak selepas kes ini;
  • Kaunseling yang berterusan perlu diberikan kepada kanak-kanak bagi mengenalpasti sejauh mana impak penderaan yang berlaku itu memberi kesan terhadap mereka dan memastikan mekanisme pemulihan yang mana satu yang sesuai dijalankan ke atas kanak-kanak;
  • Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diseru supaya memastikan agar semua pusat jagaan kanak-kanak bukan sahaja perlu berdaftar, malahan juga turut dipantau rapat dengan penuh bertanggungjawab namun kekangan kapasiti pihak JKM juga turut diambil maklum yang mana tanggungjawab pemantauan juga perlu dijalankan dengan kerjasama majlis perbandaran setempat secara menyeluruh di lokaliti masing-masing;
  • Majlis Keselamatan Negara (MKN) digesa menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji strategi bersepadu yang boleh dirangka untuk menangani jenayah seumpama ini dan langkah yang perlu diambil bagi memastikan kes sebegini tidak berulang terutamanya di institusi yang melibatkan kanak-kanak, khususnya di pusat jagaan dan asuhan;
  • Satu Suruhanjaya Inkuiri Diraja perlu ditubuhkan bagi menyiasat insiden ini agar hasil dapatan inkuiri ini dapat dimanfaatkan sebagai panduan untuk reformasi institusi dan seterusnya membantu mewujudkan suatu sistem perlindungan kanak-kanak yang lebih holistik; dan
  • Satu Operasi Khas dimohon kepada pihak berkuasa bagi menggempur rumah amal kanak-kanak serta pusat asuhan bagi memastikan kesemua institusi ini mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh JKM.
Sumber kenyataan awam ini adalah dari Kenyataan Awam No. 21 oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang boleh dimuat turun di laman sesawang rasminya.