17 Ogos 2024 - Pastikan Ibu Bapa atau Penjaga Bertanggungjawab atas Kecuaian mendedahkan Kanak-Kanak kepada Kemalangan Maut atau Kecederaan di Jalan Raya

Dalam kenyataan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia No. 17, Dr. Farah Nini Dusuki, Pesuruhjaya Kanak-Kanak menyatakan bahawa beliau berdukacita dengan tragedi kemalangan jalan raya yang melibatkan penunggang motosikal bawah umur. Dalam satu insiden, seorang kanak-kanak berumur 12 tahun menunggang sebuah motosikal jenis roda tiga telah menyebabkan kematian seorang bayi berusia 13 bulan di Kubang Kerian. Dalam insiden lain, dua kanak-kanak lelaki berumur 13 tahun maut selepas bertembung antara satu sama lain ketika melakukan aksi menunggang motosikal secara berbahaya di Elmina.

Laporan menyatakan bahawa bagi kes pertama, cukai jalan dan insurans motosikal beroda tiga tersebut telah tamat tempoh. Bagi kes kedua, kejadian berlaku pada jam 11.20 malam ketika dua remaja terbabit melakukan aksi 'wheelies'. Kedua-dua insiden ini jelas menunjukkan kegagalan ibu bapa atau penjaga dalam memantau aktiviti anak mereka terutamanya pada waktu malam.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak menyebut bahawa menurut Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, ibu bapa atau penjaga yang mengabaikan anak mereka atau bertindak secara cuai dengan cara yang mungkin akan menyebabkan anak mereka mengalami kecederaan fizikal atau yang membenarkan anak mereka terabai, boleh, sekiranya disabitkan kesalahan, didenda tidak melebihi RM 50,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun, atau kedua-duanya sekali.

Tambahan pula, di bawah Seksyen 39(5), Akta Pengangkutan Jalan 1987, ibu bapa atau penjaga yang menyebabkan atau membenarkan anak mereka yang berusia di bawah 16 tahun memandu, suatu kenderaan motor, sekiranya didapati bersalah, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 2,000.00 atau penjara tidak melebihi enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan kepada statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, jumlah kemalangan maut dan kecederaan di jalan raya dalam kalangan kanak-kanak yang menjadi mangsa kemalangan motosikal meningkat pada tahun 2023, berbanding pada tahun 2022, khususnya pada julat umur kanak-kanak di antara 6 hingga 10 tahun, dengan kes meningkat daripada 97 kepada 111. Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dilaporkan sedang mendraf satu undang-undang baru berkaitan pembelian motosikal oleh penunggang tidak berlesen. Oleh itu, Pesuruhjaya Kanak-Kanak menyeru supaya draf undang-undang tersebut disiapkan dengan segera untuk pembentangan di Dewan Rakyat.

Pada tahun 2019, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyarankan pelaksanaan satu kategori lesen baru yang dirujuk sebagai 'B3' kepada MOT dan JPJ, yang mana ia akan mengehadkan individu berusia 16 hingga 20 tahun kepada hanya menggunakan motosikal eletrik dan motosikal 'moped' berkuasa rendah tidak melebihi 70cc saja. Saranan tersebut telah dipertimbangkan dan pada tahun 2021, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah menyokong suatu cadangan untuk mengkaji idea itu. Walau bagaimanapun, status penyelidikan itu masih tidak diketahui hingga kini. Justeru, Pesuruhjaya Kanak-Kanak menggesa MIROS supaya memaklumkan dengan jelas perkembangan kajian tersebut.

Beliau mengulangi pendirian beliau bahawa ibu bapa dan penjaga yang cuai haruslah dipertanggungjawabkan atas kegagalan mereka memenuhi peranan mereka sebagai penjaga kanak-kanak. Ujar beliau lagi kematian kanak-kanak yang terbabit bukanlah hanya sekadar suatu kemalangan atau takdir yang tersurat, kerana ia boleh dielakkan sekiranya ibu bapa atau penjaga melanksanakan pemantauan dengan sewajarnya.