Kenyataan awam ini menyebut bahawa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menjadi pemerhati dalam Penilaian Berkala Sejagat atau Universal Periodic Review (UPR) Malaysia ke-4 pada sesi ke-45 kumpulan kerja di Geneva, Switzerland pada 25 Januari 2024.
Semasa sesi UPR ini berlangsung pelbagai isu hak asasi manusia telah diketengahkan dan disyorkan kepada Malaysia. Negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf dan menyambut baik reformasi undang-undang dan institusi yang dilaksanakan oleh kerajaan, termasuk peningkatan perlindungan hak untuk wanita, kanak-kanak dan kumpulan rentan lain termasuk pengukuhan pembaharuan perundangan melalui perlindungan undang-undang tambahan.
Majoriti negara anggota PBB memuji usaha Malaysia memansuhkan hukuman mati mandatori, yang telah berkuatkuasa sejak 4 Julai 2023. Selain itu, usaha kerajaan dalam memperkasa SUHAKAM sebagai Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRI) dengan pengukuhan diperlukan untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia di Malaysia turut dipuji oleh mereka.
Mereka turut memberikan cadangan utama yang lain antaranya seperti berikut:
- Memansuhkan sepenuhnya hukuman mati;
- Meningkatkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun;
- Meningkatkan hak, perlindungan, dan menambah baik kesejahteraan warga emas dan orang kurang upaya;
- Memansuhkan hukuman rotan di sekolah;
- Memerangi isu pemerdagangan orang;
- Membangunkan rangka kerja untuk melindungi orang pelarian, orang tanpa dokumen, dan tanpa kewarganegaraan;
- Memperkukuh perlindungan sosial bagi kumpulan rentan terutamanya di kawasan luar bandar;
- Memberikan hak kewarganegaraan kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia; serta
- Mengkaji semula baki perjanjian hak asasi manusia antarabangsa yang utama dan menarik balik reservasi kepada Konvensyen yang telah diratifikasi.
Di peringkat nasional, SUHAKAM telah mengadakan satu forum hibrid di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya diikuti dengan siaran langsung sesi yang diadakan di Geneva. Forum tersebut menampilkan wakil dari Pusat KOMAS, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia (OHCHR) Asia Tenggara. Menurut SUHAKAM, objektif forum ini adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai proses UPR dan merupakan platform untuk membincangkangkan isu hak asasi manusia yang semakin meruncing.
Sebagai pemerhati kepada tiga kitaran UPR Malaysia yang terdahulu, SUHAKAM mengakui impak positif proses penilaian ini. SUHAKAM menggesa kerajaan untuk mengkaji secara positif kesemua cadangan yang diterima dan memenuhi komitmennya dalam mencapai objektif UPR melalui pendekatan yang menyeluruh kepada masyarakat. SUHAKAM menantikan penerimagunaan laporan hasil pada 31 Januari 2024, yang akan menjadi halatuju Malaysia untuk terus memajukan hak asasi manusia dan mempromosikan keterangkuman (inclusivity).
Kenyataan awam No. 2 ini boleh diakses dalam Pusat Media SUHAKAM melalui laman sesawang rasmi SUHAKAM. Diharapkan maklumat ini dapat membantu tuan dan puan dalam meningkatkan pengetahuan berhubung dengan usaha mempromosi dan melindungi hak asasi manusia di Malaysia. Terima kasih.