Dalam kenyataan medianya, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyatakan bahawa ia tetap dengan pendirian tegas menyuarakan kebimbangan dan bantahan terhadap cadangan pindaan beberapa peruntukan mengenai kewarganegaraan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Namun, SUHAKAM menyokong dan bersetuju dengan cadangan bagi pindaan Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan bagi mengiktiraf kesaksamaan gender. Dalam pada itu, SUHAKAM turut memuji Dato' Seri Saifuddin Nasution, Menteri Dalam Negeri yang dalam kenyataan beliau menyatakan bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sedang menyelesaikan tunggakan permohonan kewarganegaraan secara aktif.
Kebimbangan SUHAKAM pula adalah pada lima cadangan pindaan lain yang mana ia akan menimbulkan situasi seperti berikut:
- Menjejaskan anak-anak yang dilahirkan di luar perkahwinan bersama lelaki warganegara Malaysia;
- Menjejaskan anak tanpa kewarganegaraan yang diambil sebagai anak angkat oleh pasangan warganegara Malaysia; dan
- Menjejaskan kanak-kanak yang ditemui terdampar tanpa keluarga.
Hal seperti di atas berkisah kepada isu penting seperti peruntukan hak kewarganegaraan yang seharusnya termaktub dalam Perlembagaan dan tidak sepatutnya diserahkan kepada budi bicara menteri.
Selain itu, SUHAKAM menggariskan halangan utama dalam peruntukan yang sedia ada seperti:
- Sikap tidak responsif JPN terhadap pemohon;
- Wujud rasa tidak percaya yang ketara dalam kerja birokrasi;
- Cadangan pindaan untuk memindahkan hak Perlembagaan kepada budi bicara pegawai awam didapati tidak munasabah;
- Cadangan pindaan ini akan memburukkan lagi situasi kanak-kanak tanpa kewarganegaraan;
- Cadangan pindaan pada Seksyen 19B Bahagian III Jadual Kedua, yang memerlukan sesiapa yang mendaftarkan kanak-kanak yang ditemui dalam tempoh satu tahun, adalah satu langkah yang mundur ke belakang untuk kanak-kanak yang tidak bersalah kerana ia menafikan hak kewarganegaraan mereka akibat pengabaian ibu bapa atau pohak ketiga yang lain.
SUHAKAM menyuarakan kekecewaannya dengan jemaah kabinet yang bersetuju dengan semua pindaan yang dicadangkan meskipun terdapat bantahan besar-besaran terhadap perkara ini. Ia menyuarakan kebimbangan bahawa cadangan ini akan memburukkan lagi cabaran yang dihadapi oleh individu tanpa kewarganegaraan di Malaysia. Cadangan pindaan ini didapati bersifat menindas dan mundur ke belakang (regresif) sekaligus akan terus mewujudkan isu generasi tanpa kewarganegaraan serta membebankan negara kerana kelompok ini tidak dapat berdikari bagi menyumbang kepada negara.
Dalam kenyataan awam ini, SUHAKAM menggesa kerajaan seperti berikut:
- Mengambil tindakan yang tegas dengan pendekatan yang holistik serta menyeluruh bagi menangani isu kewarganegaraan;
- Menjalankan penyelidikan menyeluruh tentang kesan pindaan, melibatkan pihak berkepentingan termasuklah organisasi masyarakat madani (CSO) secara kolektif dan mengadakan konsultasi dengan pakar dalam hak kanak-kanak serta tanpa kewarganegaraan dalam proses rundingan dengan lebih meluas;
- Mempertimbang setiap pindaan dengan teliti selain mengambil kira implikasinya yang unik bagi memastikan hak asasi semua individu terutamanya kanak-kanak dapat dipertahankan.
Di samping itu, SUHAKAM menegaskan bahawa:
- Hak untuk kewarganegaraan adalah hak asasi manusia dan sebagai Negara Pihak kepada Konvensyen tentang Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (CRC), kerajaan haruslah memastikan bahawa tiada kanak-kanak tanpa kewarganegaraan di negara ini dengan mengambil langkah ke arah menghapuskan tanpa kewarganegaraan; dan
- Pindaan ini menurut CSO di Sabah, dibimbangi menjejaskan komuniti Orang Asli (OA) di Semenanjung dan Orang Asal di Sabah serta Sarawak kerana mereka hanya akan menjadi penduduk tetapi disebabkan oleh masalah kekurangan dokumentasi serta tidak dapat menjadi warganegara melalui kuatkuasa undang-undang.
SUHAKAM berpendirian bahawa semua pihak haruslah berhenti menyalahkan sejarah kanak-kanak ini sebaliknya harus berusaha untuk mengatasi isu kewarganegaraan dengan mengutamakan kepentingan terbaik kanak-kanak kerana mereka tidak berdosa.
Terjemahan bahasa Inggeris kenyataan awam No. 4 ini boleh didapati di Pusat Media dalam laman sesawang SUHAKAM. Sekian, terima kasih.