Agama di Malaysia

Perlembagaan Persekutuan Malaysia mengurniakan kebebasan beragama di Malaysia manakala Islam pula diangkat menjadi "agama Persekutuan". Menurut Banci Kependudukan dan Perumahan 2020, suku kaum dan agama mempunyai perkaitan yang sangat rapat di Malaysia.

Banci Taburan Penduduk dan Ciri Demografi Asas pada tahun 2014 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan bahawa kira-kira, 63.5% daripada populasi Malaysia menganuti agama Islam. Selebihnya, sebanyak 18.7% menganuti agama Buddha, 9.1% beragama Kristian, 6.1% beragama Hindu dan 1.3% lagi mewakili lain-lain penganut agama seperti Taoisme, Konfucianisme dan agama rakyat Cina. Sebanyak 2.7% penduduk di Malaysia pula tidak mengamalkan sebarang agama atau agama-agama lain yang tidak disebutkan atau tidak menyediakan sebarang maklumat berhubung hal tersebut. Selanjutnya, negeri seperti Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mempunyai jumlah penduduk bukan Islam yang besar serta membentuk majoriti di situ.