Menurut Alexander K. Adelaar (2004) dalam karya beliau, "Where does Malay come from? Twenty years of discussions about homeland, migrations and classifications", ahli linguistik bahasa Melayu bersetuju dengan kemungkinan bahawa asal usul bahasa Melayu terletak di barat Pulau Borneo. Satu bentuk bahasa yang dikenali sebagai bahasa Melayu Purba atau dari segi linguistiknya disebut sebagai bahasa Malayic Purba dituturkan di Pulau Borneo sekurang-kurangnya pada 1000 SM. Bahasa Malayic Purba ini dianggap sebagai nenek moyang kepada kesemua bahasa yang berada di bawah golongan Malayic termasuklah bahasa Melayu.
Selanjutnya, bahasa Malayic Purba diturunkan oleh bahasa Malayo-Polinesia Purba, yang merupakan turunan daripada bahasa Austronesia Purba. Bahasa Austronesia Purba mula bercambah di Asia Tenggara sekurang-kurangnya pada 2000 SM berkemungkinan hasil daripada pelayaran bangsa Austronesia dari Taiwan ke arah selatan iaitu kawasan perairan Asia Tenggara.