Malaysia berasal dari kerajaan-kerajaan Melayu, yang pada suatu ketika dalam abad ke-18 masihi menjadi negara yang dilindungi oleh empayar British bersama dengan Negeri Selat. Semasa Perang Dunia ke-2, Malaya British bersama dengan jajahan British serta Amerika yang berdekatan diduduki sebentar oleh empayar Jepun.
Selepas tiga tahun pendudukan empayar Jepun, kerajaan-kerajaan Melayu di Semenanjung Malaysia yang ketika itu dikenali sebagai Tanah Melayu disatukan sebagai Malayan Union atau Kesatuan Malaya pada tahun 1946. Selepas bantahan besar-besaran, Malayan Union distrukturkan semula sebagai Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948.
Pada 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu diberikan kemerdekaan oleh Britain. Kemudian, pada 16 September 1963, Persekutuan Tanah Melayu digabungkan pula dengan Jajahan Mahkota British di Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura bagi membentuk Persekutuan Malaysia. Pada 9 Ogos 1965, Singapura telah ditendang keluar dari Persekutuan Malaysia lalu ia membentuk sebuah negara kota yang tersendiri dan bebas merdeka.
Selain itu, Malaysia adalah sebuah negara yang pelbagai etnik dan kebudayaan. Hal ini sebenarnya memberikan kesan yang agak besar juga kepada senario politiknya. Separuh daripada populasi di Malaysia adalah daripada etnik Melayu atau sekurang-kurangnya dijatikan sebagai Melayu manakala separuh lagi populasinya terdiri daripada minoriti etnik Orang Asli (OA), Cina dan India. Bahasa rasmi di Malaysia adalah Bahasa Melayu Malaysia yang merupakan bentuk bahasa Melayu rasmi yang digunakan di Malaysia manakala Bahasa Inggeris masih lagi menjadi bahasa kedua yang aktif digunakan terutama sekali dalam undang-undang kontrak di Malaysia.
Walaupun Islam diiktiraf sebagai agama rasmi di peringkat Persekutuan, namun Perlembagaan Persekutuan Malaysia mengurniakan kebebasan beragama kepada penganut agama bukan Islam di Malaysia. Kerajaan di Malaysia dibentuk berdasarkan kepada model sistem Parlimen Westminster dan sistem undang-undang di Malaysia adalah berasaskan kepada undang-undang Common Law yang diamalkan dalam empayar British. Ketua negara di Malaysia yang dikenali sebagai Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong umumnya dipilih daripada dalam kalangan Sultan di sembilan buah negeri di Semenanjung Malaysia setiap lima tahun. Ketua badan pemerintahan pula adalah perdana menteri.
Selepas mencapai kemerdekaan, kadar keluaran negara kasar (GDP) Malaysia berkembang pada kadar 6.5 peratus setiap tahun selama hampir 50 tahun. Ekonomi Malaysia secara tradisinya dipacu oleh sumber aslinya, namun ia mula memperkembang potensi ekonominya kepada perdagangan, pelancongan dan pelancongan perubatan. Malaysia juga mempunyai pasaran industri baru yang menduduki tempat kelima terbesar di Asia Tenggara dan ke-36 terbesar di dunia.
Akhir sekali, Malaysia menjadi ahli awal dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), dan Pertubuhan Negara Bangsa Asia Tenggara (ASEAN). Di samping itu, ia turut menjadi ahli dalam Pergerakan Negara Berkecuali (NAM), Komenwel British dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).