Bahagian Pendidikan dan Kemasyarakatan (EOD) diamanahkan untuk menjalankan fungsi Suruhanjaya di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597), iaitu menyediakan pendidikan berkaitan dengan hak asasi manusia kepada pelbagai lapisan masyarakat dan juga pemegang taruh yang relevan, termasuklah agensi penguatkuasa undang-undang.
Bahagian ini menjalan beberapa siri program latihan hak asasi manusia serta bengkel untuk agensi kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan mengenai pelbagai topik hak asasi manusia yang berkaitan dengan penguatkuasaan undang-undang, hak asasi manusia dan perniagaan serta pendekatan yang berasaskan hak asasi manusia.
EOD dipercayai bahawa hak asasi manusia bukan hanya dilindungi, sebaliknya juga ia harus dihormati dan dipenuhi jika semua pihak mempunyai pemahaman yang benar berkenaan dengan hak asasi manusia. Maka, EOD memberikan tumpuan kepada penyebaran ilmu mengenai hak asasi manusia di sekolah, institusi pengajian tinggi dan institut latihan perguruan (IPG) di Malaysia. Pada tahun 2009, Program Amalan Terbaik Hak Asasi Manusia (ATHAM) telah diperkenal dengan matlamat untuk memupuk rasa hormat kepada hak asasi manusia dalam kalangan murid di sekolah. Hingga kini, lebih daripada 400 buah sekolah telah menyertai program ini.
Pada tahun 2019, EOD telah berjaya melancarkan Modul Hak Asasi Manusia Pasca PT3 dan Modul Hak Asasi Manusia Pasca UPSR, yang telah diterbitkan dengan kerjasama daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Kedua-dua modul ini digunakan di sekolah ATHAM sebagai sebahagian daripada alat bantu mengajar selepas peperiksaan PT3 dan UPSR. EOD juga terlibat sebagai penyumbang dalam isi kandungan mengenai hak asasi manusia untuk subjek pendidikan sivik yang diperkenal di sekolah pada tahun 2019. EOD turut menjadi peneraju bagi proses Memorandum Persefahaman (MoU) dengan institusi pendidikan tinggi bagi mengukuhkan pendidikan hak asasi manusia di universiti serta peringkat yang seterusnya di Malaysia.
Bahagian ini berniat untuk memperkembang lagi program ATHAM di sekolah lain serta menginstitusikan latihan mengenai hak asasi manusia dalam agensi penguatkuasaan undang-undang khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara Malaysia melalui penghasilan modul berstruktur mengenai hak asasi manusia untuk kedua-dua agensi ini.
Dalam pada itu, SUHAKAM juga memberikan kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat di peringkat akar umbi menerusi program "SUHAKAM Bersama Masyarakat). Program ini membolehkan SUHAKAM mempromosi hak asasi manusia serta peranan SUHAKAM selain daripada menyediakan ruangan untuk masyarakat di peringkat akar umbi menyuarakan isu yang berkaitan dengan hak asasi manusia.