Bahasa di Malaysia

Bahasa asli di Semenanjung Malaysia boleh dibahagikan kepada dua jenis keluarga bahasa iaitu bahasa Mon-Khmer dan bahasa Malayo-Polinesian.

Bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di peringkat kerajaan persekutuan dan negeri di Malaysia adalah bahasa Melayu yang merupakan bahasa ibunda bagi majoriti suku kaum Melayu di Malaysia. Suku kaum yang utama di Malaysia digolongkan kepada tiga jenis bangsa iaitu bangsa Melayu, bangsa Cina dan bangsa India. Sementara itu, suku kaum minoriti yang tidak tergolong dalam ketiga-tiga jenis bangsa ini digolongkan sebagai bangsa lain-lain dengan bahasa mereka sendiri. Di Malaysia Timur pula, bahasa suku kaum asal yang terbesar sekali adalah bahasa dalam kelompok bahasa Iban, Dusun dan Kadazan.

Seterusnya, bahasa Inggeris banyak dituturkan dan difahami di kawasan bandar-bandar di Malaysia. Bahasa Inggeris juga menjadi salah satu subjek yang wajib di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. Selain itu, ia menjadi wahana pengajaran di kebanyakan kolej dan universiti swasta. Bahasa Inggeris akan diutamakan berbanding bahasa Melayu dalam konteks rasmi yang tertentu seperti yang diperuntukkan dalam Akta Bahasa Kebangsaan, terutamanya di negeri Sabah dan Sarawak, yang mana bahasa Inggeris boleh menjadi bahasa kerja yang rasmi. Tambahan lagi, undang-undang Malaysia pada kebiasaannya diajar dan diamalkan dalam bahasa Inggeris kerana Malaysia masih lagi meneruskan warisan Common Law iaitu undang-undang tidak bertulis hasil penjajahan British di komponen pentadbiran yang membentuk Malaysia. Malaysia juga turut menyediakan versi Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkanun yang berwibawa dalam kedua-dua bahasa iaitu bahasa Melayu serta bahasa Inggeris.

Malaysia mempunyai penutur sejumlah 137 bahasa yang masih lagi hidup dan berfungsi dengan 41 daripadanya boleh ditemui di Semenanjung Malaysia. Kerajaan menyediakan pendidikan di peringkat rendah dalam tiga bahasa yang utama iaitu bahasa Melayu, bahasa Mandarin dan bahasa Tamil. Selain daripada itu, terdapat juga perbezaan loghat dalam bahasa Melayu serta bahasa Tamil kerana perbezaan geografi serta pengaruh. Dalam pada itu, bahasa Cina selain daripada bahasa Mandarin turut dituturkan secara tidak rasmi sebagai bahasa ibunda suku kaum Cina di Malaysia seperti bahasa Kantonis (Yue), Hokkien (Min) dan Hakka (Gan).