Beribu-Ribu Orang Warganegara China Terus Menetap di Malaysia

Sejumlah besar warganegara China dilaporkan terus menetap di Malaysia melalui rancangan visa jangka panjang anjuran Kerajaan. Keadaan ini mencetuskan perdebatan mengenai kebanjiran warganegara China dan kebimbangan mengenai impak ke atas hubungan antara kaum di Malaysia serta kesannya dari segi politik.

Akhbar the Straits Times Singapura memetik jumlah daripada laporan rasmi Kerajaan Malaysia yang menyebut bahawa seramai 26,162 warganegara Republik Rakyat China (PRC) telah menetap di Malaysia selepas menerima visa jangka panjang di bawah rancangan Malaysia Rumah Kedua (MM2H). Laporan tersebut menyebut bahawa hingga Disember 2024 sahaja, jumlah warganegara PRC di Malaysia membentuk peratusan sebanyak 45% daripada sejumlah 57,686 peserta MM2H yang kebanyakannya menetap untuk tujuan persaraan, pendidikan dan pelaburan. Selain itu, dilaporkan juga bahawa warganegara PRC merupakan pemohon terbesar MM2H berbanding dengan pemohon daripada negara lain.

Dalam tempoh empat bulan iaitu antara September 2024 hingga Januari 2025, sebanyak 53% daripada jumlah 2,195 pemohon MM2H adalah pemohon yang berasal dari China, diikuti oleh Taiwan (8%) dan Hong Kong (6%). Mereka membawa bersama sejumlah RM 675 juta wang tunai yang disimpan dalam akaun deposit tetap tempatan dan membeli hartanah bernilai RM 681 juta. Selain daripada itu, warganegara China dilaporkan tertarik dengan Malaysia kerana harga perumahan yang mampu milik dan mereka cuba untuk melepaskan diri daripada persaingan yang tidak berkesudahan di negara asal mereka.

Hal ini timbul di tengah-tengah kritikan kepada kempen agresif Kerajaan terkini bagi menarik berjuta-juta penacong dari China sebagai sokongan kepada pengecualian visa selama 30 hari untuk pelawat dari Tanah Besar China hingga berakhirnya tahun 2026.

Malaysia adalah antara negara yang menerima pelancong China terbanyak sekali. Pada tahun 2024, The Financial Times melaporkan mengenai trend warganegara China melawat Malaysia beramai-ramai dan menjangkakan bahawa jumlah mereka yang menetap terus di Malaysia akan bertambah dua kali ganda dalam tempoh tiga tahun iaitu daripada 82,000 orang pada tahun 2022 hingga antara 150,000 dan 200,000 orang.

MM2H, satu skim Kerajaan yang menggalakkan warganegara asing menyimpan kemewahan mereka di Malaysia sebagai balasan kepada kemudahan visa jangka panjang menimbulkan kontroversi terutamanya sekali apabila Tio King Sing, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan di bawah pentadbiran Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia itu dikritik ramai kerana memberikan tumpuan bukan sahaja kepada menarik warganegara China ke Malaysia tetapi juga mempromosikan China.

Di bawah MM2H ini, peserta akan memasuki Malaysia dengan deposit tetap sebanyak RM 5 juta dan tinggal hingga mencecah tempoh 20 tahun, termasuklah menerima permit kerja automatik. Namun, pakar memberikan amaran bahawa peningkatan jumlah warganegara China di Malaysia akan menimbulkan banyak cabaran terutamanya dari segi impaknya kepada sektor hartanah dan pemilikan rumah kerana pemaju akan memberikan tumpuan kepada mebangunkan hartanah mewah berbanding dengan perumahan mampu milik untuk warganegara Malaysia sendiri. Selain itu, wujud juga kebimbangan mengenai perubahan demografi dan kesan domino yang lain.

Para pengkritik juga memberikan amaran kepada Putrajaya supaya belajar dari pengalaman negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Vietnam yang bergelut dengan kebanjiran migran China dan isu integrasi kebudayaan yang turut timbul bersama dengan kemasukan migran China ini. Salah seorang daripada pengkritik iaitu Dr. Mahathir Mohamad, bekas perdana menteri Malaysia juga turut menyuarakan kebimbangannya pada tahun 2024 mengenai peningkatan ketara jumlah warganegara China yang menetap di Malaysia. Menurut beliau, kehadiran komuniti Cina tempatan juga akan menyukarkan pihak berkuasa untuk mengesan migran dari Tanah Besar China serta warganegara asing itu akan "hilang" dengan mudah. Dr. Mahathir juga berkata bahawa disebabkan banyak persamaan maka warganegara dari China sukar dibezakan dengan komuniti Cina warganegara Malaysia.

Walaupun Malaysia tidak pernah menerbitkan statistik rasmi pendatang baru, namun The Financial Times, memetik statistik dan sumber komuniti memberikan anggaran bahawa jumlah warganegara China yang tinggal di Malaysia meningkat daripada sekitar 82,000 orang pada tahun 2022 kepada 200,000 orang pada tahun 2024. Jumlah pemilik perniagaan, pengurus dan pekerja syarikat China juga meningkat empat kali ganda daripada 10,000 orang pada tahun 2021 kepada 45,000 orang pada tahun 2024.

Kehadiran warganegara China ini lebih ketara dalam sektor pendidikan di mana pada tahun 2024 sahaja, berlaku peningkatan pendaftaran pelajar China di universiti berbanding dengan pada tahun 2021, manakala jumlah pelajar China di sekolah antarabangsa pula meningkat sebanyak tiga kali ganda.

'Little China' di Pulau Pinang

The Straits Times Singapura mencatitkan juga dalam laporannya pada 23 Februari 2025 bahawa kesan migrasi warganegara China di Malaysia turut dirasai di Pulau Pinang.

Seorang agen hartanah berkata bahawa 80% daripada klien nya pada tahun 2025 adalah warganegara China berbanding dengan langsung tiada ketika beliau memulakan kerjaya tersebut pada tahun 2013.

Sekolah antarabangsa di Pulau Pinang juga dipaksa untuk menetapkan kuota 20% kepada pelajar China di setiap kelas bagi memastikan kepelbagaian. Oleh itu, sukar sekali untuk menerapkan suasana pertuturan bahasa Inggeris jika lebih daripada separuh pelajar dalam kelas itu berasal dari negara China.

"Di satu perumahan berdekatan dengan Universiti Sains Malaysia pula, jumlah restoran Cina yang  juga meningkat bagai cendawan selepas hujan iaitu daripada 2 kepada 10 sejak beberapa tahun ini," jelas Tan Siang Ching, seorang penerbit filem tempatan. Beliau menegaskan bahawa walaupun keadaan ini memberikan pilihan kepada pelanggan namun, kebimbangan mengenai bilakah trend ini akan berakhir itu masih ada. "Apakah yang akan berlaku kepada restoran ini semua jika pelajar dari China berhenti datang ke situ? Adakah rencana pada masa hadapan bagi menangani hal itu sekiranya ia berlaku?", ujarnya kepada The Straits Times. 

Rencana ini disesuaikan dari portal akhbar dalam talian, Malaysia Kini berjudul, "Thousands of Chinese nationals continue to settle in Malaysia," yang dimuatnaik pada 24 Februari 2025.