Warga Malaysia merayakan sebilangan cuti dan perayaan setiap tahun. Sesetengah daripada perayaan ini diwartakan di peringkat persekutuan sebagai cuti umum manakala yang lain pula diwartakan di peringkat negeri tertentu sahaja. Perayaan yang dirayakan oleh kaum atau kelompok agama tertentu dirayakan oleh kaum atau kelompok tersebut sahaja, tetapi cuti umum untuk setiap kelompok diisytiharkan sebagai cuti umum.
Cuti umum yang biasa di Malaysia adalah seperti berikut:
- Hari Merdeka yang jatuh pada 31 Ogos setiap tahun bagi memperingati peristiwa kemerdekaan Persekutuan Malaya pada tahun 1957;
- Hari Malaysia pada 16 September bagi memperingati pembentukan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963;
- Hari Buruh pada setiap 1 Mei untuk pekerja berehat; dan
- Hari Keputeraan Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) mengikut sultan yang menduduki jawatan tersebut pada ketika itu.
Memandangkan Islam adalah agama rasmi persekutuan, maka cuti bagi upacara keagamaan Islam turut dijadikan sebagai cuti umum. Antara cuti berkaitan yang biasanya diumumkan sebagai cuti umum di peringkat persekutuan adalah:
- Hari Raya Puasa atau disebut juga sebagai Hari Raya Aidilfitri;
- Hari Raya Haji yang dikenali juga sebagai Hari Raya Aidil Adha atau Korban; dan
- Maulidul Rasul iaitu hari kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.
Perayaan yang melibatkan kelompok agama lain yang diiktiraf sebagai cuti umum di Malaysia pula adalah seperti berikut:
- Hari Wesak yang dirayakan oleh penganut ajaran Buddha tanpa mengira bangsa;
- Deepavali yang merupakan perayaan penganut agama Hindu dari semua suku kaum;
- Thaipusam iaitu perayaan bagi penganut dewa Muruga atau Skandha yang kebanyakan dari suku kaum Tamil atau suku kaum India Selatan lain biasanya dijalankan di Batu Caves di Gombak, Selangor atau di kuil-kuil yang berkaitan di Semenanjung Malaysia.
Di Malaysia Timur pula, sebilangan perayaan suku kaum dan juga perayaan keagamaan dijadikan sebagai cuti umum sama ada di Sabah atau di Sarawak mengikut majoriti suku kaum atau pemeluk agama berkenaan contohnya seperti berikut:
- Pesta Gawai iaitu pesta menuai yang dirayakan oleh pelbagai suku kaum Dayak di Sarawak;
- Pesta Kaamatan yang disambut oleh komuniti Kadazan dan Dusun di Sabah;
- Krismas yang juga merupakan cuti umum di peringkat persekutuan; dan
- Easter atau Hari Paskah di mana ia merupakan cuti peringkat negeri di Sabah, Sarawak dan Melaka.
Walaupun kebanyakanyan perayaan yang dijadikan cuti umum di peringkat persekutuan dan peringkat negeri yang disebutkan di atas itu dikenal pasti sebagai perayaan suku kaum atau perayaan bagi kelompok keagamaan, namun ia masih lagi disambut secara universal atau sejagat. Warga Malaysia mengamalkan amalan 'rumah terbuka' atau konsep open house bagi memberikan peluang kepada rakan-rakan daripada pelbagai bangsa atau agama turut menziarahi atau melawati mereka semasa mereka menyambut perayaan tersebut.