Dewan Negara telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025, antaranya bertujuan memastikan keberkesanan institusi itu menjalankan fungsinya seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
RUU ini diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan beberapa orang Ahli Dewan Negara.
Ketika menggulung perbahasan RUU ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata bahawa RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 mengandungi 15 fasal berbanding dengan hanya lapan fasal dalam Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang dimansuhkan pada tahun 1992.
Azalina menyebut bahawa fasal yang amat penting dalam RUU ini ialah Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP) di bawah Fasal 10 yang boleh menubuhkan sebarang jawatankuasa sebagaimana yang difikirkan perlu atau sesuai bagi membantu MPP melaksanakan fungsinya.
Azalina selanjutnya berkata bahawa, "bermaksud, hal ini bukan hanya terikat kepada satu jawatankuasa sahaja seperti disebutkan dalam Fasal 9 berkenaan Jawatankuasa Rayuan, Jawatankuasa Perkhidmatan Tatatertib (Fasal 8) dan kenaikan pangkat dalam Fasal 7."
Terdahulu, Dewan Negara turut meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 yang menjadi asas kepada penggubalan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 selepas Akta Perkhidmatan Parlimen dimansuhkan pada tahun 1992. Persidangan Dewan Negara seterusnya akan bersambung pada 24 Mac 2025.
Sumber berita rujukan dalam bahasa Melayu boleh didapati dalam, "Dewan Negara Lulus RUU Perkhidmatan Parlimen 2025" dalam portal atas talian Sinar Harian pada 20 Mac 2025. Rujukan berbahasa Inggeris pula boleh diakes dalam, "Dewan Negara passes Parliamentary Sevice Bill 2025" di portal akhbar atas talian Free Malaysia Today pada 20 Mac 2025.