Fungsi dan Kuasa SUHAKAM

A. Fungsi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia

Fungsi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) seperti yang digariskan dalam Seksyen 4(1) Akta 597 adalah seperti berikut:

  1. Mempromosi kesedaran dan menyediakan pendidikan berkaitan dengan hak asasi manusia;
  2. Menasihati dan membantu kerajaan dalam formulasi perundangan dan prosedur serta mengesyorkan langkah yang perlu diambil oleh kerajaan berhubung dengan hak asasi manusia;
  3. Mengesyorkan kepada kerajaan berkenaan dengan kenaikan ke dalam perjanjian dan instrumen antarabangsa yang berkaitan dengan hak asasi manusia; dan
  4. Menyiasat aduan berkenaan dakwaan pelanggaran hak asasi manusia.
Lebih lanjut lagi, Seksyen 4(4) dalam Akta 597 memperuntukkan bahawa Malaysia haruslah menghormati Perisytiharan Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR) selagi ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Hal ini membawa maksud bahawa sebarang hak atau kekebasan asasi yang tidak disebutkan dalam Bahagian II namun apabila ia dirujuk dalam UDHR maka ia haruslah dipertimbangkan selagi ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Fungsi yang memerlukan siasatan terhadap aduan atau dakwaan pelanggaran hak asasi pula tertakluk kepada syarat yang dikenakan oleh Seksyen 12 dalam Akta 597. Seksyen 12 memperkasa SUHAKAM untuk bertindak dengan inisiatifnya sendiri dalam menjalankan inkuiri atau siasatan terhadap dakwaan pelanggaran hak asasi manusia sebagai tambahan kepada tindakan yang diambil kepada aduan yang dikemukakan kepadanya. SUHAKAM walau bagaimanapun, tidak akan menyiasat aduan yang berada dalam proses pengadilan di mahkamah undang-undang atau pun yang akhirnya telah diputuskan oleh mahkamah. Laman web SUHAKAM menyebut bahawa siasatan berkenaan sesuatu kes haruslah dihentikan apabila ia dibawa ke mahkamah.

B. Kuasa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia

Dalam pada itu, laman web SUHAKAM mendakwa bahawa Akta 597 memperuntukkan SUHAKAM dengan kuasa yang membolehkannya melaksanakan fungsinya secara efektif. Di bawah Seksyen 4(2) Akta 597, Suruhanjaya diperkasa untuk berbuat seperti berikut:
  1. Menjalankan penyelidikan menerusi penganjuran program, seminar, dan bengkel serta menyebarkan hasil penyelidikan itu kepada pelbagai agensi serta pemegang taruh;
  2. Menasihati kerajaan dan (atau) pihak berkuasa yang berkaitan mengenai aduan yang diterima mengenai mereka serta mengesyorkan langkah bersesuaian diambil bagi menangani aduan yang telah dikemukakan oleh pengadu;
  3. Menyiasat dan mengesahkan sebarang pelanggaran hak asasi manusia;
  4. Melawat tempat tahanan bersesuaian dengan prosedur yang diperuntukkan dalam undang-undang berkaitan dengan tempat tahanan serta memberikan sebarang syor yang bersesuaian;
  5. Mengeluarkan kenyataan awam mengenai hak asasi manusia mengikut keperluan semasa; dan
  6. Menjalankan sebarang aktiviti yang bersesuaian sebagaimana yang dilihat sebagai bersesuaian. 
Setakat ini sahajalah maklumat yang diperolehi oleh pengumpul dari laman web SUHAKAM berhubung dengan fungsi dan kuasanya mengikut Akta 597.