Hubungan Luar dan Aktiviti Diplomatik Malaysia

Malaysia adalah negara anggota dalam Pertubuhan Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Pertubuhan Islam Antarabangsa (OIC). Selain itu, Malaysia menyertai pertubuhan antarabangsa yang lain seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), Pertubuhan Kerjasama Asia Pasifik (APEC), Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Negara D-8 dan Pertubuhan Negara-Negara Berkecuali (NAM).

Malaysia juga pernah mempengerusikan ASEAN, OIC dan NAM. Sebagai salah satu negara di bawah perlindungan empayar British, Malaysia menjadi anggota dalam Pertubuhan Kebajikan dan Kemakmuran Bersama (Commonwealth). Di samping itu, pada tahun 2005, Kuala Lumpur pernah menjadi tempat berlangsungnya Sidang Kemuncak Asia Pasifik (EAS).

Dasar Luar Malaysia secara umummnya didasarkan kepada prinsip tidak berpihak atau neutral bagi memastikan hubungan yang aman sentosa dengan semua negara tanpa mengira sistem politik mereka. Kerajaan memberikan penekanan yang tinggi kepada keselamatan dan kestabilan rantau Asia Tenggara serta cuba sedaya upaya untuk memanjangkan hubungannya dengan negara yang berjiran di rantau ini.

Dari segi sejarah, kerajaan cuba memaparkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang progresif. Dalam masa yang sama, ia memperkukuh hubungannya dengan negara Islam lain. Prinsip yang yang paling menonjol dalam dasar luar Malaysia adalah kedaulatan negara dan hak negara dalam mengawal hal ehwal dalamannya sendiri. Maka Malaysia berpegang dengan dasar tidak campur tangan dalam politik negara berjirannya atau di negara lain. Selain itu, Malaysia telah menandatangani Triti UN mengenai Larangan terhadap Senjata Nuklear.

Dari segi pertindihan tuntutan negara pula, Kepulauan Spratly sering menjadi isu pertelingkahan negara yang berada di sekitarnya. Sebahagian besar daripada Laut Cina Selatan juga dituntut oleh Republik Rakyat China (PRC). Malaysia, tidak seperti negara berjirannya iaitu Vietnam dan Filipina. Ia sering mengelakkan daripada terjebak dalam konflik dengan China. Walau bagaimanapun, pencerobohan kapal-kapal China di dalam perairan Malaysia dan pelanggaran ruang udara oleh jet pejuang China pada tahun 2015 telah menyebabkan Malaysia aktif bersuara mengecam tindakan China.

Selanjutnya, Malaysia dan Brunei mengumumkan bahawa mereka telah menamatkan tuntutan masing-masing bagi isu sempadan daratan serta komited dalam menyelesaikan isu berkaitan sempadan perairannya pada tahun 2009. Filipina pula masih lagi tidak berganjak daripada tuntutannya terhadap bahagian timur Sabah. Penambakan laut Singapura juga menimbulkan ketegangan antaranya dengan Malaysia dan terdapat pertikaian sempadan perairan serta darat antara Malaysia dengan Indonesia.