Bahasa Melayu dituturkan secara rasmi di Malaysia, Brunei dan Singapura. Bahasa Melayu Malaysia dan bahasa Melayu Singapura menggunakan piawaian yang serupa. Manakala bahasa Melayu Brunei menggunakan dua jenis piawaian iaitu bahasa Melayu Piawai Brunei yang boleh difahami oleh penutur bahasa Melayu di Malaysia dan Singapura serta satu lagi adalah bahasa Melayu Basahan loghat Brunei yang bersifat tempatan dan difahami hanya di Brunei dan rantau sekitarnya sahaja.
Di Indonesia pula bahasa Melayu dituturkan sebagai bahasa suku kaum di rantau seperti Sumatera Selatan, Kepulauan Riau-Lingga dan Kalimantan Barat. Selain itu, bahasa Indonesia yang merupakan bahasa rasmi di Indonesia turut menyerap kosa kata dari bahasa Melayu bagi memperluas leksikonnya walaupun tidak semestinya semua perkataan daripada bahasa ini digunakan dalam bahasa Indonesia. Selain itu, tatabahasa bahasa Melayu dan tatabahasa bahasa Indonesia adalah berbeza.
Di Thailand, bahasa Melayu loghat Patani-Langkasuka dituturkan di tiga wilayah selatannya iaitu di Yala, Narathiwat dan Patani manakala bahasa Melayu loghat Kedah-Satun dituturkan di wilayah Satun hingga wilayah Ranong. Sejak akhir-akhir ini, kerajaan Thailand juga cenderung melantik pegawai kerajaan serta anggota keselamatan yang berbahasa Melayu terutamanya di tiga wilayah selatannya bagi memudahkan komunikasi dasar kerajaan dengan penduduk. Rujukan mengenai bahasa Melayu di Thailand boleh dibuat dalam laman yang akan ditempelkan di sini nanti.
Bagi situasi di Malaysia, bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa kebangsaan melalui Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Bahasa Melayu adalah satu-satunya bahasa rasmi di Semenanjung Malaysia pada tahun 1968 dan beransur-ansur diterima menjadi bahasa kebangsaan di Malaysia Timur bermula pada tahun 1974. Dalam pada itu, bahasa Inggeris masih lagi digunakan secara meluas dalam bidang profesional dan komersil serta di mahkamah yang tinggi. Malaysia tidak melarang penggunaan bahasa suku kaum minoriti yang lain oleh itu media massa rasmi dalam bahasa kaum yang membentuk komponen terbesar di Semenanjung dan Malaysia Timur boleh diakses dengan mudah tanpa sebarang kekangan. Situasi yang hampir sama dengan Malaysia turut berlaku di Brunei manakala di Singapura, bahasa Inggeris dan bahasa Inggeris Pijin yang digelar sebagai Singlish digunakan untuk tujuan komunikasi tidak rasmi.