KWSP untuk Pekerja Asing membebankan Perusahaan Kecil Sederhana

Pada 3 Februari 2025, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata bahawa sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mandatori untuk pekerja asing yang ditetapkan sebanyak 2% haruslah dilaksanakan. Menurut beliau lagi, cadangan Kabinet awal menetapkan sebanyak 12% namun pertimbangan kepada Dewan Perniagaan menyebabkan jumlahnya dikurangkan kepada 2% sahaja.

Steven Sim, Menteri Sumber Manusia menyebut bahawa kadar 2% itu adalah untuk kedua-dua pekerja dan juga majikan. Beliau selanjutnya berkata bahawa Kertas Kabinet pindaan Akta KWSP akan dibentangkan di Dewan Rakyat.

Walau bagaimanapun, terdapat permohonan daripada kumpulan perniagaan Johor supaya pelaksanaan ini dijalankan secara beransur-ansur mengikut industri. Komuniti perniagaan berharap supaya terdapat kelonggaran kepada pelaksanaan sumbangan KWSP sebanyak 2% ini kepada pekerja asing.

Steve Ong, Presiden Pertubuhan Perabot Muar berkata bahawa peraturan ini akan membebankan perusahaan kecil dan sederhana (SME) yang kini masih lagi bergelut dengan kesan dari pandemik COVID-19. Menurut beliau, industri perabot juga menghadapi pelbagai cabaran. Walaupun komuniti perniagaan memahami niat di sebalik syarat ini, namun pelaksanaannya akan mengancam kestabilan SME. Maka, mereka berharap supaya kerajaan dapat mempertimbangkan hal ini kerana industri perabot sangat bergantung kepada tenaga buruh asing.

Selain daripada itu, Chong Khai Siang, Presiden Kelab Bos Malaysia di Johor yang mewakili pemilik perniagaan dalam industri seperti pertanian, makanan dan minuman berkata bahawa majikan pun masih lagi samar-samar mengenai mekanisme sumbangan KWSP ini. Menurut beliau:

  • Mereka tidak menentang keputusan tersebut namun berharap supaya ia dilaksanakan secara beransur-ansur dan mengikut industri bagi memberikan ruang kepada perniagaan terutamanya yang berurusan dengan eksport mendapatkan faktor bagi kos mereka kerana perniagaan telah menandatangani kontrak perjanjian dari tempoh enam bulan hingga ke setahun dengan pembeli mereka; dan
  • Mereka mencadangkan insentif atau rebat untuk industri kritikal yang menggunakan tenaga buruh asing yang banyak; dan 
  • Kerajaan perlu mengadakan dialog dengan komuniti perniagaan bagi memahami cabaran dalam melaksanakan dasar ini kerana pengenalan kepada sumbangan mandatori KWSP kepada pekerja asing ini akan menambahkan lagi kos tertangguh operasi mereka akibat kenaikan tarif elektrik hinggalah kepada peningkatan gaji pekerja kepada RM 1,700.00.
Selanjutnya, Chong memaklumkan bahawa perniagaan kebanyakan tertakluk kepada pematuhan banyak kos bagi menggajikan pekerja asing. Hal ini termasuklah kos berkaitan seperti cukai levi, syarat gaji minimum, pemerikasaan kesihatan dan tempat tinggal atau pengangkutan mereka. Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa jika dasar sumbangan KWSP ini tidak dilaksanakan dengan baik, maka ia akan memberikan kesan kepada daya saing Malaysia yang mana syarikat multinasional akan memilih untuk berpindah ke negara-negara jiran.

Rencana ini diadaptasi daripada laporan Yee Xiangyun dari portal atas talian akhbar The Star bertarikh 21 Februari 2025 yang berjudul, "EPF for foreign workers burdensome for SME's".