Rang Undang-Undang (RUU) ini telah diluluskan pada 26 Februari 2025 (Rabu) melalui undi suara semasa bacaan ketiga oleh YB Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Komunikasi. Di bawah RUU ini, Majlis akan menetapkan satu piawaian berkenaan dengan etika serta tanggungjawab dalam kewartawanan bagi pengamal media. Dalam pada itu, sejumlah 19 orang ahli parlimen turut serta dalam perdebatan mengenai RUU ini. Ia dibentangkan pada bacaan pertama pada 12 Disember 2024.
Semasa RUU dibentangkan dalam bacaan kedua, Teo menyebut bahawa cadangan mengenai majlis media ini telah pun dikemukakan sejak sedasawarsa yang lalu iaitu pada tahun 1973 oleh Tun Abdul Razak Hussein, perdana menteri Malaysia kedua. Namun memorandum kabinet untuk penubuhan Majlis Media Malaysia ini hanya dibentangkan di kabinet dan diluluskan pada 6 Disember 2019.
Pelbagai usaha telah dijalankan dalam penubuhan majlis media ini dan draf RUU nya diselesaikan oleh seramai 21 orang ahli jawatankuasa pro-tem pada Ogos 2020. Selepas itu, sebanyak 26 sesi libat urus dengan pemegang taruh telah dijalankan dengan jawatankuasa pro-tem.
Teo dilaporkan berkata bahawa, "ringkasnya, RUU Majlis Media Malaysia ini wujud hasil daripada usaha serta kerjasama antara Kerajaan dan wakil industri media. Sehingga kini, jawatankuasa pro-tem terdiri daripada seramai 40 orang wakil dari media industri."
Teo selanjutnya berkata bahawa, "Klausa 5 dalam RUU itu menggariskan fungsi majlis, yang antara lainnya menetapkan piawaian profesional pengamal media dan pengamal media bebas. Hingga kini, kita masih lagi belum mempunyai satu badan yang menguruskan dan memperjuang kepentingan media tempatan. Di samping itu, Kerajaan berkeyakinan bahawa semak dan imbang akan dapat dijalankan oleh pemain dalam industri media itu sendiri melalui penubuhan majlis seumpama ini."
Syahredzan Johan (PH-Bangi) pernah berkata bahawa, "RUU Majlis Media Malaysia 2024 ini disifatkan sebagai pengubah haluan media negara iaitu daripada kerangka kerja campur tangan atau pergantungan kepada Kerajaan kepada kawalan dalam kalangan pengamalnya sendiri. Sebarang kebimbangan mengenai pelaporan media akan diuruskan dan diselesaikan melalui mekanisme remedi yang akan didraf oleh Majlis Media Malaysia."
Selain daripada itu, Syahredzan turut menceritakan pengalaman beliau sebagai seorang peguam yang membantu kes wartawan yang dipanggil oleh pihak polis untuk membantu dalam siasatan. Menurutnya, "jika majlis media ini telah wujud 10 tahun yang lalu, pastinya sebarang ketidakpuasan hati boleh disalurkan kepada majlis ini dan saya rasakan bahawa hal ini sangat penting."
Walau bagaimanapun, terdapat persoalan yang dibangkitkan oleh Ahmad Fahdli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai keperluan untuk melantik dua orang wakil di majlis tersebut. Beliau dilaporkan mempersoalkan, "bukankah majlis ini sepatutnya bebas, tidak dipengaruhi oleh kerajaan dan mempunyai perundangan tersendiri seperti yang diamalkan di negara demokratik lain?" Beliau berpendapat bahawa tiada sebarang keperluan untuk pelantikan sebegitu.
Majlis ini akan ditadbir oleh lembaga yang terdiri daripada seorang pengerusi yang tidak terlibat dalam politik, perkhidmatan awam atau perundangan serta dua orang ahli yang mewakili kerajaan. Syarikat media, persatuan media dan ahli bukan media pula akan diwakili oleh empat orang ahli setiap satunya serta sekurang-kurangnya seorang wanita serta seorang wakil masing-masing di Sabah serta Sarawak.
Pengerusi dan ahli lembaga majlis akan dibayar elaun dan seseorang ahli lembaga itu pula akan memegang jawatan selama dua tahun.
RUU ini timbul berikutan cadangan pelbagai kelompok media supaya satu badan yang mengawal media ditubuhkan bagi tujuan melindungi kebebasan media serta mempromosikan piawaian etika dalam bidang kewartawanan di Malaysia.
Berita dalam bahasa Inggeris berkenaan hal ini boleh diakses dalam "Parliament passes Malaysian Media Council Bill" oleh Terrence Tan, Gerard Gimino dan Ho Jia Wen yang diterbitkan dalam seksyen Nation di portal berita dalam talian The Star pada 26 Februari 2025. Sementara itu, berita dalam bahasa Melayu pula boleh diakses dalam, "RUU Majlis Media Malaysia: Ahli Parlimen sifatkan 'game changer' media di negara ini" oleh Latifah Arifin dalam seksyen Nasional di portal dalam talian Berita Harian.