Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersempena dengan sambutan Hari Malaysia 2018 menjanjikan untuk memulihkan semula status Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia selaras dengan Perjanjian Malaysia yang memulihkan semula, "status mereka daripada negeri semata-mata kepada rakan kongsi yang saksama dengan negeri-negeri Malaya".
Walaupun status kedua-dua entiti Malaysia itu didefinisikan dengan jelas dalam Perkara I, Perjanjian Malaysia 1963 sebagai 'negeri' yang patut dipersekutukan dengan negeri-negeri yang sedia ada dalam Persekutuan Malaya. Namun, melalui proses pindaan, Rang Undang-Undang (RUU) tersebut gagal diluluskan berikutan kegagalannya mencapai sokongan majoriti dua pertiga (148 undi) di Parlimen. Ia hanya menerima sebanyak 138 undi sahaja dengan 59 lagi enggan mengundi.
Walau bagaimanapun, kerajaan persekutuan Malaysia bersetuju untuk menilai semula Perjanjian Malaysia 1963 bagi mencari penyelesaian (remedy) kepada pelanggaran perjanjian dengan penubuhan "Jawatankuasa Kabinet Khas untuk Menilai Perjanjian Malaysia" dan mengarahkan supaya Kumpulan Kerja Khas Taskforce MA63 supaya menyediakan laporan akhir berkenaan dengan Perjanjian 1963 sebelum 31 Ogos 2019.
Dua tahun selepas percubaan yang gagal, pada 16 September 2021, Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri pada ketika itu berikrar untuk meneliti isu berkaitan Sabah dan Sarawak melalui Majlis Khas mengenai Perjanjian Malaysia 1963, dengan rundingannya dipengerusikan oleh Perdana Menteri, disertai oleh Ketua Menteri Sabah dan Sarawak serta lapan lagi menteri dari Persekutuan.
Pada 19 Oktober 2021, Maximus Ongkili, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), mengumumkan Rang Undang-Undang yang dibentangkan dalam sidang Parlimen selepas Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 bersetuju dengan Perkara 1(2) dan 160(2) dalam Perlembagaan Persekutuan, bagi memulihkan semula Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi kepada Semenanjung Malaysia. Undang-undang yang diusulkan itu berbeza dengan pindaan yang diusulkan pada tahun 2019 oleh kerajaan PH, yang dibentangkan oleh Wan Junaidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen).
Sementara itu, perbincangan mengenai pemulihan hak warga Sabah dan Sarawak akan berterusan. Mesyuarat yang sama juga melihat bahawa majlis bersetuju bagi memperkasa kerajaan Sabah dan Sarawak bagi mengeluarkan lesen perikanan laut dalam berbanding dengan kerajaan persekutuan. Pindaan tersebut dibentangkan pada 3 November 2021, melibatkan empat perubahan iaitu:
- Pemulihan Sabah dan Sarawak kepada "rakan kongsi" kepada Semenanjung Tanah Melayu;
- Definisi Hari Malaysia sebagai hari Sabah serta Sarawak menyertai Semenanjung Tanah Melayu;
- Perubahan definisi Persekutuan Malaysia; dan
- Definisi Orang Asal (OA) di Sabah serta Sarawak.
Pada 14 Disember 2021, pindaan tersebut diluluskan di Parlimen sebulat suara dengan 199 mengundi supaya usul disokong, manakala 21 orang lagi ahli parlimen tidak hadir semasa debat selama enam jam itu berlangsung.
Pada 6 Januari 2022, Maximus Ongkili mengumumkan penubuhan jawatankuasa teknikal bersama bagi mengkaji usul Sabah bagi menambah geran tahunan sebagai tambahan kepada tawaran balas daripada kerajaan persekutuan.