Pengantar kepada Ekonomi Malaysia

Menurut, "GDP - composition, by sector of origin" (2022) dalam arkib The World Factbook oleh Central Intelligence Agency, sektor perkhidmatan menjadi sektor yang terbesar menyumbang dalam keseluruhan jumlah GDP di Malaysia pada tahun 2017 iaitu sebanyak 53.6% diikuti oleh:

  • Sektor Perindustrian, 37.6%; dan
  • Sektor Pertanian Kecil 8.8%

Selain itu, Moody's Analytic pada tahun 2022 mencatatkan bahawa Malaysia mempunyai kadar pengangguran rasmi yang rendah iaitu kira-kira 3.9%. Simpanan tukaran wang asing Malaysia pula adalah yang ke-24 terbesar di dunia. Tenaga kerja di Malaysia pula adalah sebanyak 15 juta orang, iaitu yang ke-34 terbesar di dunia. Industri automotif Malaysia menduduki tempat ke-22 dalam industri pembuatan dunia.

Malaysia menjadi pengeksport ke-23 terbesar dunia dan pengimport ke-25 terbesar. Walau bagaimanapun, wujud ketidakseimbangan ekonomi antara pelbagai kelompok etnik di Malaysia. Etnik Cina membentuk satu perempat daripada populasi, namun mereka termasuk dalam 70 peratus daripada pasaran modal negara. Perniagaan Cina di Malaysia menjadi sebahagian daripada jaringan buluh, iaitu jaringan perniagaan Cina seberang laut dalam pasaran Asia Tenggara di mana mereka berkongsi ikatan kekeluargaan dan kebudayaan.

Perdagangan antarabangsa, dibantu dengan jalan kapal di Selat Melaka dan pembuatan menjadi sektor utama. Malaysia menjadi pengeksport sumber semulajadi dan pertanian serta petroleum menjadi bahan eksport utamanya. Selain itu, Malaysia pernah menjadi pengeluar aluminium, getah dan minyak sawit terbesar dunia. Pembuatan mempunyai pengaruh yang besar dalam ekonomi negara, walaupun struktur ekonomi Malaysia telah beranjak daripada perkara tersebut. Hingga kini, Malaysia kekal menjadi pengeluar minyak kelapa sawit terbesar dunia.

Industri pelancongan menjadi penyumbang ketiga terbesar kepada GDP Malaysia selepas pembuatan dan komiditi. Pada tahun 2019, sektor pelancongan menyumbang kira-kira 15.9% kepada keseluruhan GDP Malaysia. Menurut World Tourism Organisation, Malaysia menjadi negara ke-14 yang paling banyak dilawati di seluruh dunia dan negara keempat paling banyak dilawati di Asia pada tahun 2019, dengan lebih daripada 26.1 juta lawatan.

Di samping itu, Malaysia menduduki tempat ke-38 dalam Travel and Tourism Competitiveness Report 2019. Pelancongan antarabangsanya pada tahun 2019 mencatatkan jumlah keuntungan sebanyak 19.9 bilion dollar Amerika Syarikat.

Akhir sekali, Malaysia berkembang menjadi pusat perbankan Islam dan mempunyai jumlah pekerja wanita yang tinggi sekali dalam industri ini. Perkhidmatan berasaskan pengetahuan juga berkembang. Pada tahun 2020, Malaysia mengeksport produk teknologi tinggi bernilai $92.1 bilion, kedua tertinggi di ASEAN selepas Singapura. Malaysia menduduki tempat ke-33 dalam Global Innovation Index pada tahun 2024, dan ke-32 dalam Global Comptetiveness Report pada tahun 2022.