Pengelompokan Bahasa Melayu

Bahasa Melayu ialah salah satu daripada ahli keluarga bahasa Austronesia yang merangkumi sekelompok bahasa di kawasan Asia Tenggara dan Lautan Teduh serta sebilangan kecilnya di benua Asia. Bahasa Malagasi, iaitu bahasa yang tersisih jauh dari segi geografi dan dituturkan di Madagaskar di barat Lautan India, turut digolongkan dalam kelompok bahasa Austronesia.

Walaupun bahasa-bahasa ini tidak semestinya difahami dengan jelas dalam kalangan penuturnya, namun terdapat juga persamaan yang ketara antaranya. Dalam bahasa yang lebih konservatif seperti bahasa Melayu pula, terdapat banyak kata akar yang mengalami perubahan yang agak kecil daripada bahasa induknya iaitu bahasa Austronesia Purba. Banyak perkataan yang selari (kognat) dalam perbendaharaan bahasa-bahasa ini terutamnya dari segi hubungan kekeluargaan, kesihatan, bahagian tubuh badan dan nama am bagi haiwan. Persamaan juga ketara dari segi angka dalam keluarga bahasa ini.

Di bawah bahasa Austronesia sebagai induknya, bahasa Melayu tergolong dalam kelompok bahasa Malayic yang tersebar merentasi Semenanjung Tanah Melayu dan disebarkan di kepulauan Indonesia oleh pedagang suku kaum Melayu dari Sumatera. Dari segi pertuturan pula, terdapat perbezaan dalam kalangan penutur loghat bahasa Melayu. Kadang kala perbezaan ini menjadikan bahasa Melayu di sesuatu rantau tidak dfahami oleh penutur bahasa Melayu di rantau yang lain. Contohnya seperti bahasa Melayu Brunei tidak dapat difahami oleh penutur bahasa Melayu Johor-Riau. Begitu juga, bahasa Melayu Kedah boleh pula difahami oleh penutur bahasa Melayu Brunei.