Pertahanan dan Keselamatan

Secara umumnya, bidang ketenteraan di Malaysia diwakili oleh tiga cawangan iaitu Tentera Darat Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia. Malaysia tidak mengamalkan kerahan tenaga tentera secara paksa rela seperti Singapura atau Thailand. Selain itu, umur kelayakan bagi seseorang warganegara yang ingin berkhidmat dalam tentera di Malaysia adalah 18 tahun.

Malaysian Military Statistics oleh Nations Master (2013) menyebut bahawa dana bagi kegunaan pertahanan negara adalah sebanyak 1.5% daripada GDP nya serta tenaga kerja yang diambil pula adalah sebanyak 1.23% daripada keseluruhan populasi. Malaysia menghantar tentera pengaman serta banyak memberikan sumbangan kepada misi keamanan UN seperti di Congo, Iran-Iraq, Namibia, Kemboja, Bosnia dan Herzegovina, Somalia, Kosovo, Timor Timur dan Lebanon.

Dalam pada itu, Perjanjian Pertahanan Lima Kuasa menjadi satu inisiatif keselamatan serantau yang telah pun wujud selama hampir 40 tahun. Ia melibatkan latihan ketenteraan antara Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan United Kingdom. Selain daripada itu, Malaysia turut mengadakan kerjasama dengan Brunei, China, India, Indonesia, Jepun dan Amerika Syarikat dalam segi latihan dan sukan. Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam pula bersetuju menjadi tuan rumah bagi latihan anggota keselamatan bagi menjaga keamanan sempadan maritim masing-masing serta menangani isu keselamatan seperti imigresen, lanun, dan penyeludupan orang.  

Bahagian ini hanya membicarakan secara umum sahaja mengenai isu pertahanan dan keselamatan di Malaysia bagi tujuan pengetahuan am. Data yang dipaparkan juga bukanlah data yang terkini.