Laman sesawang SUHAKAM menyatakan bahawa Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) ini adalah satu bahagian yang khas dalam SUHAKAM yang memegang mandat mengenai hak kanak-kanak di Malaysia. Ia ditubuhkan pada suku akhir tahun 2019 berikutan pelantikan Prof. Datuk Noor Aziah Mohd Awal, Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC) yang pertama di Malaysia pada Ogos 2019. Menurut laman sesawang lagi, idea pelantikan CC ini didakwa berasal dari Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada tahun 2018.
Rencana akhbar berjudul, "Commissioner will ensure rights of children are protected, say legal experts", yang diterbitkan dalam seksyen Nation dalam akhbar The Star pada 19 Januari 2023 merakamkan kenyataan Prof. Datuk Noor Aziah Mohd Awal bahawa pelantikan CC di bawah SUHAKAM pada ketika itu akan memastikan bahawa hak dan kebajikan kanak-kanak terus dilindungi apabila Suruhanjaya Kanak-Kanak ditubuhkan nanti. Hal ini kerana, jawatan tersebut membawa fungsi yang memastikan bahawa sebarang pelanggaran hak kanak-kanak diambil tindakan dengan segera. Tugas CC bagi memastikan bahawa jika seseorang kanak-kanak itu didera, maka siasatan lanjut akan dijalankan dan jika dia dibiciarakan di mahkamah pula, Pesuruhjaya perlu memastikan bahawa kanak-kanak itu tidak dilayan seperti orang dewasa contohnya seperti digari dan sebagainya.
Rencana berjudul, "A fully independent Children's Commissioner's Office soon", yang diterbitkan oleh akhbar The Star pada 17 Mac 2023 menyebut bahawa Datuk Seri Azalina Othman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) menyatakan bahawa satu rang undang-undang baru dirangka bagi membolehkan penubuhan OCC yang dikhususkan untuk menangani isu-isu yang memberi kesan kepada kanak-kanak di Malaysia.
- Kerajaan akan meggubal satu Akta khas bagi menjadikan OCC sebagai satu badan bebas yang berfungsi sebagai badan pemantauan yang memantau isu yang memberikan kesan kepada kanak-kanak di Malaysia;
- Isu yang dipantau olehnya tidak terhad kepada isu perundangan sahaja sebaliknya mencakupi segala aspek yang berkaitan dengan kanak-kanak;
- Walaupun Pesuruhjaya Kanak-Kanak baru telah pun dilantik, namun setakat ini peranan beliau terhad kerana ia berada di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM);
- Menteri berpendapat bahawa SUHAKAM mefokuskan hanya kepada hak asasi manusia sahaja namun kepakaran seorang Pesuruhjaya Kanak-Kanak itu adalah seperti seorang pemantau yang merangkumi lebih daripada hal hak asasi manusia yang menyebabkan beliau merasakan bahawa satu Akta diperlukan bagi menyokong Pesuruhjaya Kanak-Kanak; dan
- Setakat kewujudannya itu, menteri berpandangan bahawa ia menghadapi kesukaran dalam operasi, perbelanjaan dana dan kuasa kerana ia berada di bawah SUHAKAM; dan
- Menteri memikirkan bahawa OCC haruslah menjadi pejabat yang 'bebas' kerana ia akan dapat memainkan peranannya secara ideal.