Rakyat Malaysia Berpendapatan Rendah Terpaksa Bekerja Lama dalam Sehari untuk Bahan Makanan Asas

Pusat Kajian Kesejahteraan Sosial di Universiti Malaya mendedahkan bahawa pekerja yang bergaji minimum di Malaysia harus bekerja dalam tempoh yang lama berbanding pekerja bergaji minimum di negara lain hanya semata-mata untuk mendapatkan bahan makanan asas.

Kajian juga mendapati bahawa kemampuan untuk mendapatkan bahan makanan menjadi kebimbangan bagi kebanyakan keluarga. Ia ditambah lagi dengan gaji rendah yang berada di bawah tahap piawaian antarabangsa. Selain itu, kajian juga menyatakan bahawa, "berbanding dengan pekerja bergaji minimum di Belanda yang mampu membeli seliter susu dengan tempoh kerja selama empat minit sahaja, pekerja bergaji minimum di Malaysia pula perlu bekerja selama 58 minit bagi mencapai kemampuan yang sama dengan pekerja di Belanda untuk membeli seliter susu." Selanjutnya, ia menyebut bahawa percanggahan ini meliputi bahan asas yang lain juga seperti telur, daging ayam, dan sayuran.

Pekerja Malaysia mesti bekerja selama 130 minit untuk membeli sekilogram ayam berbanding dengan 28 minit untuk pekerja di Australia. Bagi sekilogram daging lembu pula, pekerja di Malaysia mesti bekerja selama 271 minit berbeza pula dengan pekerja di New Zealand yang bekerja hanya selama 45 minit untuk mencapai kemampuan mendapatkan bahan yang sama kuantitinya.

Satu contoh lagi yang diberikan adalah pekerja Malaysia juga bekerja selama 92 minit untuk membeli sekilogram buah epal, 47 minit untuk sekilogram pisang dan 34 minit untuk sekilogram salad. Keadaan ini berbeza dengan pekerja di Belanda dan Jerman yang hanya memerlukan enam minit untuk sekilogram epal, lima minit untuk sekilogram pisang dan tiga minit untuk sekilogram salad.

Gaji minimum di Malaysia ini sangat-sangat rendah jika dibandingkan dengan negara setarafnya, dan peratusan yang besar tenaga kerja menerima gaji di bawah dua pertiga daripada gaji median. Penduduk di bandar amat bergantung kepada pasar untuk mendapatkan makanan mentah, tidak seperti keluarga di kawasan kampung yang mempunyai akses terus kepada tanah serta boleh menjalankan pertanian bagi menyara kehidupan. Perubahan berstruktur ini bermaksud keselamatan makanan di bandar bukannya bergantung kepada ketersediaan tetapi sebaliknya bergantung kepada kemampuan.

Tanpa tanah untuk bercucuk tanam makanan sendiri, penduduk di bandar terpaksa membeli bahan makanan, menjadikan pendapatan mereka sebagai pendorong asas bagi akses kepada nutrisi. Banyak keluarga terpaksa memilih alternatif yang tidak sihat dan penuh kalori seperti mi segera dan makanan bergoreng yang lebih murah namun tidak berkhasiat. Persekitaran gaji yang rendah ini memaksa kebanyakan rakyat Malaysia untuk membahagikan sebahagian besar daripada pendapatan mereka untuk keperluan asas dengan makanan membentuk bahagian terbesar dalam pembahagian tersebut.

Inflasi makanan juga menjatuhkan kuasa beli pada tahun 2022 yang mana Malaysia mengalami peningkatan mendadak sebanyak 6.8% harga makanan yang ruji seperti nasi, daging ayam, dan sayuran. 

Oleh itu, kajian ini mencadangkan tiga intervensi dasar yang mungkin bagi mengurangkan kesan daripada situasi ini iaitu:

  • menyediakan lantai perlindungan sosial;
  • memperluas dan memperkukuh program makanan di sekolah; dan
  • memperkenal penyelarasan gaji minimum automatik berdasarkan kepada petunjuk gaji rendah.  

Memperkukuh faedah yang diterima oleh kanak-kanak dan sokongan pendapatan untuk warga emas serta orang kurang upaya (OKU) boleh memastikan isi rumah tidak tertekan disebabkan oleh kesuntukan makanan pada saat ekonomi mengalami kesukaran. Selain daripada itu, kajian ini menggesa kerajaan supaya menyediakan sekurang-kurangnya sekali makanan berkhasiat untuk kanak-kanak di sekolah bagi meringankan beban kos makanan keluarga berpendapatan rendah.

Dalam pada itu, kajian menyebut bahawa pembaharuan juga boleh dibuat dengan memperkenal mekanisme pelarasan gaji berstruktur yang dikaitkan dengan inflasi, sementara gaji median boleh membantu memastikan kuasa beli pekerja berpendapatan rendah bersesuaian dengan kenaikan kos bahan mentah.

Gaji minimum di Malaysia kekal pada RM 1,200.00 antara tahun 2020 dan tahun 2023. Kemudian, ia dikaji semula dan dinaikkan kepada RM 1,500 pada tahun 2023 dan RM 1,700 pada tahun 2025 berikutan tekanan awam.

Rencana ini dipetik dari rencana berjudul, "Low-income Malaysians must work longer for basic food items, UM study reveals" diterbitkan dalam portal Malaysia Kini pada 17 Mac 2023.