Bahasa Melayu yang digunakan pada alaf pertama dikenali sebagai bahasa Melayu Purba, yang merupakan sebahagian daripada keluarga bahasa Austronesia. Lebih daripada dua alaf, bahasa Melayu telah mengalami pelbagai peringkat perkembangan hasil daripada pelbagai lapisan pengaruh luar termasuklah melalui perdagangan antarabangsa, pelebaran agama, penjajahan dan perkembangan trend sosiopolitik yang baru.
Bentuk bahasa Melayu yang tertua sekali diturunkan daripada bahasa Malayo Polinesia Tua yang dituturkan oleh peneroka bangsa Austronesia terawal di Asia Tenggara. Bentuk ini kemudian berkembang menjadi bahasa Melayu Tua apabila kebudayaan India purba dan agama dari benua kecil India mula meresapi rantau Asia Tenggara, menerusi penggunaan tulisan Kawi dan Rencong. Bahasa Melayu Tua mengandungi istilah yang masih lagi wujud pada hari ini, namun tidak lagi difahami oleh penutur bahasa Melayu Moden. Dalam pada itu, bahasa Melayu Moden boleh dikesan berasal daripada bahasa Melayu Klasik pada tahun 1303 M.
Bahasa Melayu berevolusi secara berterusan hingga menjadi bahasa Melayu Klasik menerusi kemasukan perbendaharaan kata bahasa Arab dan bahasa Parsi secara beransur-ansur apabila agama Islam tiba di rantau Asia Tenggara. Pada awalnya, bahasa Melayu Klasik terdiri daripada pelbagai kelompok loghat yang mencerminkan kepelbagaian asal usul kerajaan Melayu di rantau Asia Tenggara. Salah daripada loghat bahasa Melayu ini telah memperkembang tradisi kesusasteraannya di Melaka sekitar abad ke-15 masihi hingga ia berkembang menjadi loghat bahasa Melayu yang berstatus tinggi. Pengaruh Melaka yang kuat dalam perdagangan antarabangsa di rantau ini menyebabkan bahasa Melayu menjadi lingua franca atau bahasa umum yang digunakan dalam perdagangan serta diplomasi. Status yang dipegang oleh bahasa Melayu Klasik ini diteruskan merentasi zaman oleh kesultanan Melayu yang menggantikan kesultanan Melaka pada zaman penjajahan kuasa Eropah dan zaman moden. Daripada abad ke-19 hingga abad ke-20 masihi, bahasa Melayu berevolusi secara progresif menerusi penambahbaikan yang agak besar juga pada struktur tatabahasa serta pengayaan leksikal hingga menjadi salah satu bahasa moden dengan lebih daripada 800,000 frasa bagi membincangkan pelbagai cawangan disiplin ilmu.