Penahanan pencegahan pertama kalinya dilaksanakan di Malaya oleh British pada tahun 1948 bagi menentang pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya semasa Darurat Malaya. Ordinan Darurat 1948 atau Emergency Regulations Ordinance 1948 telah digubal oleh Sir Edward Gent, Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya. Ia membenarkan penahanan seseorang dalam tempoh tidak melebihi satu tahun. Ordinan ini menyasarkan tindakan keganasan dan hanya mengenakan tahanan sementara sahaja ke atas tahanan. Darurat Malaya berakhir pada tahun 1960 dan ordinan ini pun telah dibatalkan. Walau bagaimanapun, penahanan pencegahan masih dikekalkan dan tetap menjadi ciri undang-undang di Malaysia selepas itu. Pada tahun 1960, kerajaan telah meluluskan Akta Keselamatan Dalam Negeri [Akta 82] di bawah kuasa yang dikurniakan oleh Perkara 149 dalam Perlembagaan Malaysia.
Tujuan yang nyata bagi ISA ini adalah untuk mencegah aktiviti komunis di Malaysia semasa zaman Darurat Malaya dan selepasnya. Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu mendefinisikan Akta 82 sebagai, "digunakan hanya untuk membanteras komunis ... Rakan jemaah menteri saya dan saya berjanji kepada Parlimen dan negara bahawa kuasa tidak terbatas yang diberikan kepada kerajaan di bawah ISA ini tidak akan digunakan untuk memadamkan pembangkang yang sah dan ketidakpuasan hati yang senyap serta sah di sisi undang-undang."
Dalam maklum balas kepada kritikan bahawa Akta 82 sebagai tidak demokratik atau terdedah kepada penyalahgunaan, Ismail Abdul Rahman, Menteri Keselamatan Dalam Negeri Malaysia yang pertama menyatakan bahawa:
Saya berpegang kepada pandangan bahawa ISA penting untuk keselamatan negara ini terutamanya apabila demokrasi ditafsirkan mengikut cara ia ditafsirkan dalam negara ini. Bagi pembangkang kerajaan, demokrasi ditafsirkan sebagai kebebasan mutlak, yang dalam hal ini termasuklah kebebasan menjahanamkan negara. Apabila dibengkokkan pula mengikut perbahasan bahawa demokrasi mengikut acuan Barat pula bermaksud kebebasan dalam masyarakat yang aman dan masyarakat yang aman itu pula adalah masyarakat di mana kedaulatan undang-undang dijunjung, mereka mencari suaka dalam slogan bahawa kita haruslah meniru demokrasi Barat seratus peratus. Saya yakin bahawa ISA seperti yang diamalkan di Malaysia tidak bertentangan dengan asas demokrasi. Penyalahgunaan Akta ini boleh dicegah oleh pandangan awam yang berhati-hati melalui pilihanraya, kebebasan media dan mengatasi semua, Parlimen.
Walau bagaimanapun, sebahagiannya disebabkan oleh tunjuk perasaaan jalanan melibatkan orang awam dan ahli politik dari kedua-dua belah pihak, yang menggambarkan ISa sebagai undang-undang kuku besi serta tidak diperlukan dalam kemajuan Malaysia mencapai status "negara maju", maka Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia ke-5 mengumumkan bahawa ISA telah dibatalkan pada 15 September 2011. Namun, dua lagi undang-undang baru diperkenalkan bagi menjaga keamanan dan keselamatan awam.