Sejarah Perfileman di Malaysia

Perfileman dari 1933 hingga 1941

Panggung wayang gambar di Malaysia bermula pada tahun 1933 dengan filem Leila Majnun, yang didasarkan kepada kisah dua kekasih yang malang dari Parsi. Filem ini diarahkan oleh B. S. Rajhans dan diterbitkan oleh Syarikat Kimia Motilal Bombay yang berpusat di Singapura manakala pelakonnya pula berasal dari kumpulan bangsawan tempatan. Dua bersaudara Run Run dan Run Me Shaw mendapat ilham daripada kejayaan projek filem Leila Majnun itu, kemudian membuat keputusan untuk mengimport peralatan membuat filem dari Shanghai pada tahun 1937 maka bermulalah era penerbitan filem Melayu di dalam sebuah studio kecil di Jalan Ampas, Singapura. Walau bagaimanapun, mereka hanya mampu menerbitkan lima daripada enam filem kerana penaklukan empayar Jepun pada tahun 1941.

Ramai daripada pelakon dalam filem-filem awal ini datang dari kumpulan pementasan bangsawan. Mereka membawa watak yang berlebih-lebihan itu ke dalam persembahan kesenian dalam bentuk baru pula, dengan bantuan daripada Shaw Bersaudara.

Perfileman dari 1941 hingga 1945

Pada tahun 1941, apabila Jepun menakluki Malaya, syarikat perfileman Jepun pertama mendapati bahawa penerbitan filem di situ sangat terhad. Pasaran filem pula didominasi oleh syarikat Cina seberang laut, terutama sekali Shaw Bersaudara. Orang Jepun kemudian menggunakan Malaya untuk tujuan yang sama, malah mereka menerima bantuan daripada Shaw Bersaudara untuk menembusi jaringan pertunjukan filem Asia Tenggara yang besar kepunyaan mereka. Walaupun Malaya tidak pernah menjadi pusat penerbitan filem terbesar di bawah Jepun, namun ia masih lagi menjadi pasaran filem penting yang strategik bagi Jepun serta pusat pemindahan keluar masuknya filem Jepun dari Asia Tenggara.

Studio filem Jepun merakamkan beberapa filem di Shonan (nama Jepun bagi Singapura semasa pendudukan Jepun) yang memaparkan kawasan itu seperti perbatasan Jepun. Filem seperti Southern Winds II (続・南の風, 1942, Shochiku Studios), Tiger of Malay (マライの虎, 1942, Daiei Studios) atau Singapore All-Out Attack (シンガポール総攻撃, 1943, Daiei Studios) memaparkan kawasan itu sebagai tanah yang kaya dengan sumber, diduduki oleh orang-orang yang jujur tetapi hidup secara ringkas.

Filem penjajah Jepun juga selalu mengaitkan kawasan Singapura dengan seks kerana ramai Karayuki-san, atau pelacur, sama ada dijual di rumah pelacuran atau dipilih ke Asia Tenggara untuk mencari wang pada ketika itu. Filem seperti Karayuki-san (からゆきさん, 1937, Toho Studios), Kinoshita Keisuke's Flowering Port (花咲く港, 1943, Shochiku Studios), dan kemudian Imamura Shohei's Whoremonger (女衒, 1987, Toei Studios) yang dirakamkan sekurang-kurangnya sebahagian di Singapura, menjadi contoh tahap di mana subgenre filem Jepun yang diwakili oleh Malaya ini mendominasi industri filem Jepun pada zaman perang dunia kedua.

Perkembangan dan Malapnya Perfileman (1945 hingga 1975)

Selepas berakhirnya Perang Dunia II pada tahun 1945, Shaw Bersaudara menyambung penerbitan pada tahun 1947 dengan filem arahan Rajhans berjudul Singapura di Waktu Malam yang dibintangi oleh Siput Sarawak. Dengan sokongan jaringan panggung wayang yang dimiliki atau disewa mereka, filem ini menerima maklum balas yang memuaskan. Shaw Bersaudara terus menghasilkan lebih banyak lagi filem dan memperkenal muka baru dalam industri termasuklah Kasma Booty yang berkelahiran Sumatera, Indonesia. Filem pertama beliau, Cempaka, berkisarkan mengenai kehidupan seorang gadis asli di sebuah pulau.

Pada tahun 1948, P. Ramlee yang kemudian menjadi tokoh perfileman Melayu utama, membuat penampilan pertama beliau dalam filem berjudul Cinta. P. Ramlee menjadi terkenal disebabkan oleh kemahiran beliau dalam seni muzik selain menjadi seorang penggubah lagu serta seorang penyanyi. Bakat beliau yang versatil sebagai pelakon utama, seorang pelawak, pelakon drama, penulis skrip dan pengarah filem menjadikan beliau pilihan ramai. Kebanyakan daripada filem awal beliau mengandungi sejumlah babak lagu dan tarian, trend yang diperkenal oleh pengarah filem dari India. Selepas Rajhans, Shaw Bersaudara mengimport lebih ramai pengarah filem dari India, yang antaranya seperti S. Ramanathan, K.R. Seetharama Sastry, Phani Majumdar dan D. Ghoss. Pengarah filem tempatan seperti L. Krishnan dan K. M. Bhashker, juga mempelajari kaedah dan teknik menerusi pengalaman serta rintisan mereka. Menjelang tahun 1960an, ramai daripada ekspatariat ini digantikan oleh pengarah tempatan.

Kejayaan yang dinikmati oleh studio filem Shaw Bersaudara, yang dikenali sebagai Penerbitan Filem Melayu (MFP), menggalakkan pengusaha lain untuk menceburi bidang yang sama. Salah satu contoh adalah seperti Syarikat Filem Nusantara, yang dimulai oleh Hsu Chiu Meng pada tahun 1951. Walau bagaimanapun beliau terlalu bergantung kepada panggung wayang bebas, dan selepas menerbitkan kira-kira sedozen filem, syarikat itu pun ditutup pada tahun 1954.

Pada tahun 1952, Ho Ah Loke membuka satu studio di Jalan Tampines, Singapura dan menggelarkan syarikat itu sebagai Rimau Film Productions, kemudian dikenali juga sebagai Keris Film Productions. Ho memiliki beberapa panggung wayang kecil menerusi kerjaya beliau sebagai seorang pengedar filem. Beliau berjaya menerbitkan beberapa filem, dan pada tahun 1956, syarikat beliau digabungkan dengan Cathay Organisation, yang dimiliki oleh Loke Wan Tho, seorang jutawan. Syarikat gabungan itu dikenali sebagai Cathay-Keris Film Productions, dengan studionya di Jalan Pantai Timur, Singapura. Dengan sokongan rantaian panggung wayang mereka sendiri di seluruh Malaya dan Singapura, Cathay-Keris Films ternyata memberikan cabaran kepada filem yang dihasilkan oleh studio MFP Shaw Bersaudara. Kedua-dua studio ini menghasilkan kira-kira 10 filem setiap tahun.

Semasa tahun-tahun awalnya, semua filem dihasilkan secara hitam putih. Studio ini semuanya mempunyai makmal mereka sendiri serta kemudahan merakam serta menyunting filem. Rakaman suara secara terus menjadi amalan standard pada awalnya, hinggalah pada tahun 1960an, apabila sistem suara mimikan muncul dan digunakan hingga ke hari ini.

Lakon layar kebanyakannya berasaskan kepada kisah rakyat, pementasan dan lagenda perwira sejarah, rekaan fiksyen atau peristiwa. MFP kemudian menghasilkan filem Hang Tuah pada tahun 1956, yang mengisahkan mengenai lagenda pahlawan Melaka yang hidup semasa zaman Kesultanan Melaka. Kemudian ia diproses oleh Eastman Color dan diarahkan oleh Phani Majumdar, seorang pengarah berbangsa India yang dibawa khusus untuk memastikan filem itu sampai ke Festival Filem Asia Timur. P. Ramlee memainkan watak Hang Tuah dan menggubah muzik latarnya, yang mana filem ini memenangani satu anugerah. Setelah itu, Cathay-Keris menghasilkan filem Hang Jebat, mengenai rakan karib Hang Tuah yang kemudian terlibat dalam perjuangan hidup dan mati Hang Tuah.

Sebelum menghentikan operasi mereka, kedua-dua MFP dan Cathay-Keris masing-masing menerbitkan tiga filem berwarna. Shaw Bersaudara menerbitkan filem Ribut, Hang Tuah dan Raja Bersiong, sebuah lagenda dari negeri Kedah hasil tulisan Tunku Abdul Rahman. Manakala, Cathay-Keris menghasilkan filem Buluh Perindu, Cinta Gadis Rimba dan Mahsuri, yang merupakan lagenda dari negeri Kedah hasil tulisan Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

Walaupun banyak syarikat baru muncul semasa ini, termasuklah Nusantara Films, Tan & Wong Film Company, Rimau Productions dan Cathay-Keris, namun banyak yang telah ditutup disebabkan oleh kps penerbitan yang mahal dan penonton yang semakin berkurangan. Hal ini menyebabkan hanya MFP dan Cathay-Keris sahaja yang bertahan dan beroperasi di Singapura.

Pada tahun 1961, H.M. Shah telah membeli sebidang tanah di Kuala Lumpur dan menjadikannya sebagai Studio Merdeka. Walaupun bermula secara kecil-kecilan, namun ia meningkat naik apabila bintang-bintang besar dari studio di Singapura berpindah ke situ. Studio Merdeka teletak sebaris dengan Zoo Negara di Jalan Hulu Kelang, kira-kira 13 km dari pusat bandar. Hari ini, ia menjadi ibu pejabat kepada Perbadan Pembangunan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Dalam pada itu, Shaw Bersaudara menghantar beberapa orang pengarah filem Singapura, seperti L. Krishnan, P. Ramlee, Salleh Ghani, Jamil Sulong, Omer Rojik, S. Kadarisman, Sudarmaji, Naz Achnas, M. Amin dan Jins Samsuddin ke Studio Merdeka untuk menghasilkan filem.

Perfileman dari 1975 hingga 2024

Pada tahun 1975, satu pencerahan menimbulkan kembali perkembangan kepada perfileman di Malaysia apabila Sabah Films menerima keuntungan besar dengan filem terbitannya berjudul, Keluarga Comat. Tidak lama selepas itu, muncul lagi syarikat perfileman baru seperti Perfima, Syed Kechik, Indra, Jins Shamsuddin dan lain-lain.

Pada tahun 1980an, banyak sekali perubahan yang berlaku. Pada Julai 1980, perbadanan filem Malaysia telah terbahagi kepada dua menjadi Filem Negara Malaysia (FNM) dan Perbadanan Perkembangan Filem Nasional Malaysia (FINAS), yang merupakan tindakan yang diambil oleh kerajaan persekutuan untuk mengurangkan pemusatan serta menjadikam industri filem lebih berkesan serta berdaya saing.

Penubuhan FINAS pada tahun 1981 adalah antara tindakan penting dalam memperkembang dan menjana perkembangan serta memelihara piawaian industri perfileman negara menerusi pelbagai cara, termasuklah melalui peruntukan penyelidikan dan perkhidmatan nasihat. FINAS sejak itu telah menyediakan pelbagai kemudahan bagi mempromosi industri perfileman Malaysia, termasuklah menyediakan skim kredit prasarana yang membolehkan penerbit filem muda menguji kemampuan mereka.

Penyuburan semula dalam industri ini telah membawa banyak perubahan kepada beberapa format penerbitan filem tempatan. Hampir semua filem dihasilkan dengan warna, sesetengahnya pula menggunakan format skop manakala yang lain pula menggunakan format piawai. Tiada tangga gaji khusus bagi artis yang bernaung di bawah syarikat tertentu atau studio. Sesebuah syarikat hanya boleh menjalankan dua atau tiga fungsi sahaja seperti, penerbitan, pengedaran atau pameran filem bagi menghalang pembolotan atau monopoli oleh sesetengah pihak. Penerbit juga mungkin boleh menampung bahagian pelaburan mereka melalui pemulangan semula cukai hiburan kepada mereka sebagai satu insentif. Insentif selanjutnya kepada pembuat filem tempatan adalah mereka dijemput untuk menghasilkan program televisyen sama ada dalam format filem atau format video. Hasilnya, hingga kini terdapat lebih daripada 300 syarikat filem yang berdaftar dengan FINAS.

Pada tahun 1989 dan tahun 1990, lebih daripada 20 filem cetera dihasilkan, jumlah ini berkurangan kepada 15 pada tahun 1995 namun lebih daripada lima filem cetera dihasilkan pada tahun 1985. Pada pertengahan tahun 2000an, industri filem Malaysia menyaksikan pertambahan dalam jumlah penghasilan filem domestik, daripada hanya tujuh filem pada tahun 1999 kepada 26 filem pada tahun 2009. Pertambahan dalam penghasilan filem domestik ini adalah disebabkan oleh pembukaan panggung wayang baru dan pengehadan masa tayangan filem asing dalam panggung wayang tempatan. Hingga kini, industri filem Malaysia menghadapi saingan daripada panggung di negara berjiran seperti Indonesia, Thailand, Filipina, dan India.

Pada tahun 2007, filem Love Conquers All oleh Tan Chui Mui telah memenangi Tiger Award dalam International Film Festival Rotterdam yang ke-36. Pada tahun 2008, filem berjudul Flower in the Pocket oleh Liew Seng Tat juga memenangi Tiger Award dalam International Film Festival Rotterdam yang ke-37.

Pada tahun 2011, lebih daripada 40 filem ditayangkan di Malaysia. Pada tahun 2012, FINAS bekerjasama dengan Skim Wajib Tayang yang membenarkan dua filem tempatan ditayangkan di panggung wayang tempatan setiap minggu, bermula pada 24 Mei 2012 bagi mengatasi masalah kelewatan tayangan yang dihadapi oleh industri filem tempatan. Hasilnya, pada tahun 2012 sahaja, sebanyak 70 filem telah ditayangkan di seluruh negara.

Semasa pandemik COVID-19 melanda dunia, panggung wayang telah ditutup hingga setahun bermula sekitar bulan Mac 2020 hingga lewat bulan September 2021. Pada bulan Julai 2022, kehadiran penonton di panggung wayang meningkat semula seperti yang disaksikan dalam tayangan filem, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan arahan Syamsul Yusof, yang dilaporkan telah menerima keuntungan sebanyak RM 53 juta dalam masa 13 hari, seterusnya menjadikannya sebagai epik sejarah yang menerima keuntungan terbanyak di Malaysia mengatasi filem Munafik 2 yang diarahkan juga oleh Syamsul Yusof serta filem Polis Evo 3 arahan Syafiq Yusof, adik kepada Syamsul Yusof yang menduduki tempat kedua dalam kutip sebanyak RM 54 juta dalam masa 11 minggu, serta lebih daripada RM 1 juta dalam masa tujuh hari melalui saluran Astro First.