Kedah dikenali juga dengan beberapa nama mengikut sumber asing. Contohnya, dalam kesusasteraan berbahasa Sanskrit pada abad ke-11 masihi yang berjudul Kathasaritsagara oleh Somadeva dari Kashmir merujuk Kedah sebagai Kataha. Selain itu, ia digelar sebagai Kalagam dalam kesusasteraan bahasa Tamil yang berjudul Pattinapalai, ditulis sekitar abad ke-2 masihi. Penulis karya sejarah dari rantau berbahasa Arab pula merujuk Kedah sebagai Qataha manakala penulis Parsi merujuknya sebagai Kalahbar. Pada zaman Rattanakosin di Siam, Kedah digelar sebagai Saiburee hingga zaman Jepun semasa Perang Dunia ke-2.
Kedah bersempadan dengan negeri Perlis di utara dan berkongsi sempadan antarabangsa dengan wilayah Songkhla dan wilayah Yala di Thailand. Ia bersempadan dengan negeri Perak di selatan dan Pulau Pinang di barat lautnya. Ibu kota negeri Kedah terletak di Alor Setar dan pusat pentadbiran dirajanya berada di Anak Bukit. Selain itu, Kedah mempunyai kota besar lain juga seperti Sungai Petani di rantau tengah dan Kulim di rantau timurnya. Di kepulauan Langkawi pula, Kuah menjadi pusat tumpuan urban di situ.