Sistem Tulisan Bahasa Melayu

Secara umumnya, bahasa Melayu Moden ditulis menggunakan abjad Latin yang disebut sebagai tulisan Rumi di Malaysia, Brunei dan di Singapura. Selain daripada itu, bahasa Melayu Klasik ditulis menggunakan huruf Jawi yang diterbitkan daripada huruf bahasa Arab. Bagi sistem angka pula, bahasa Melayu menggunakan angka Hindu-Arab.

Dari segi sejarah, bahasa Melayu telah pun ditulis dalam pelbagai jenis tulisan. Pada zaman purba, bahasa Melayu Tua ditulis dan direkodkan menggunakan aksara Pallava atau lebih cenderung kepada aksara Chalukya yang berasal dari Selatan India menjelang abad ke-6 masihi. Selain daripada itu, ia turut ditulis dengan menggunakan aksara Kawi yang merupakan satu bentuk aksara Pallava yang diubahsuai bagi menulis bahasa Jawa atau menggunakan aksara Rencong. Aksara yang berbentuk suku kata dari India purba ini tidak lagi digunakan namun dari segi rupanya, ia hampir sama dengan aksara bahasa Champa di Vietnam dan aksara bahasa Khmer di Kemboja. Bukti penulisan bahasa Melayu Purba yang menggunakan aksara Pallava boleh ditemui dalam prasasti di rantau yang berbahasa Melayu di Sumatera Selatan di Indonesia.

Bermula abad ke-13 masihi, Kesultanan Pasai di Sumatera mula menggunakan huruf Jawi untuk menulis bahasa Melayu. Pada zaman ini, bermulalah era bahasa Melayu Klasik. Bahasa Melayu bertulisan Jawi turut digunakan di Kesultanan Melayu Melaka bermula abad ke-14 masihi. Huruf Jawi secara beransur-ansur menggantikan aksara India purba yang digunakan sebelum itu bagi menulis bahasa Melayu.

Seterusnya, bermula abad ke-17 masihi, huruf Jawi mula beransur-ansur digantikan oleh abjad Latin hasil pengaruh daripada peluasan kuasa Belanda dan British di Asia Tenggara. Sehingga kini, bahasa Melayu di rantau bekas pengaruh British seperti di Malaysia, Brunei dan Singapura menggunakan abjad Latin berbanding dengan huruf Jawi.

Walau bagaimanapun, huruf Jawi tidaklah hilang terus daripada penulisan pada abad ke-19 masihi. Ia dijadikan sebagai huruf rasmi bersama dengan abjad Latin untuk penulisan bahasa Melayu di Brunei. Di Malaysia dan Singapura, bahasa Melayu menggunakan abjad Latin bagi urusan dokumentasi dan rekod rasmi.

Bagi kes di Malaysia, nama institusi atau pertubuhan yang berbahasa Melayu boleh jadi menggunakan abjad Latin dan juga huruf Jawi secara bersama. Malaysia juga menjalinkan pengajaran huruf Jawi bagi penulisan bahasa Melayu dalam subjek Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan awam atau secara penuh di sekolah agama sama ada milik kerajaan persekutuan, kerajaan negeri atau swasta. Usaha juga dijalankan untuk memelihara huruf Jawi yang mana pelajar yang mengambil subjek Pendidikan Islam diberikan pilihan untuk menjawab soalan peperiksaan dengan menggunakan huruf Jawi atau pun menggunakan abjad Latin.

Dalam penggunaan komunikasi harian seperti menulis pesanan ringkas dalam perisian pada peranti seperti telefon pintar atau membuat masukan pos di media sosial, kebanyakan penutur bahasa Melayu Moden di Malaysia, Singapura dan Brunei berasa selesa menggunakan abjad Latin jika dibandingkan dengan huruf Jawi walaupun terdapat pilihan huruf Jawi dalam telefon pintar bagi beberapa jenama terkenal seperti Samsung.