Sama seperti bahasa lain di dunia yang bertembung antara satu sama yang lain, bahasa Melayu turut menyerap kosa kata daripada bahasa lain. Bahasa Melayu Klasik menyerap perbendaharaan kata dari bahasa Sanskrit, bahasa Hindi, bahasa Tamil, bahasa Arab, bahasa Parsi, bahasa Portugis dan bahasa-bahasa Cina.
Kepelbagaian bahasa Melayu yang dituturkan dalam jajahan British yang akhirnya membentuk Malaysia berikutan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 turut menyerap perbendaharaan kata dari bahasa Inggeris, khususnya istilah saintifik dan teknologi, berbanding dengan menyerap perbendaharaan kata dari bahasa Belanda seperti yang berlaku di Hindia Timur Belanda (Indonesia).
Sejak kemerdekaan Malaya dan kemudian pembentukan Persekutuan, Dewan Bahasa dan Pustaka mengikuti pendekatan pemurnian dalam leksikografi atau perkamusan. Mereka menghindari kata pinjaman dari Barat serta memilih untuk menggunakan kata akar yang memang sedia ada berasal dari bahasa Sanskrit dan bahasa Arab selain daripada mewujudkan istilah baru (neologi) dari bahasa asli di rantau sekeliling.
Kebelakangan ini, bahasa Melayu di Malaysia mula dipengaruhi oleh perbendaharaan kata dari Indonesia disebabkan oleh pengaruh media massa seperti drama, filem, dan muzik sama seperti yang berlaku kepada penutur bahasa Inggeris di Britain atau Australia yang mana mereka menerima kesan daripada media Amerika.
Pinjaman dari Bahasa Asia Selatan
Bahasa Sanskrit mempunyai pengaruh yang agak besar ke atas bahasa Melayu. Ia tersebar ke rantau kepulauan Asia Tenggara menerusi perdagangan dan melalui ajaran Buddha serta Brahmana dari abad pertama hingga ke-14 masihi. Contoh perkataan pinjaman dalam bahasa Sanskrit adalah seperti bahasa, desa, neraka, raja, dan syurga.
Selain itu, bahasa Hindustan juga mempunyai pengaruh ke atas bahasa Melayu Klasik dari abad ke-14 masihi hingga abad ke-19 masihi. Rantau kepulauan Asia Tenggara ini menjadi persinggahan pedagang-pedagang India Muslim dari Utara India seperti dari Gujarat dan Bengal. Contoh perkataan dari bahasa Hindustan yang diserap ke dalam bahasa Melayu adalah seperti kuda, marmar, roti, topi, cuti, curi,
Di samping itu, terdapat juga kata serapan bahasa Tamil dalam bahasa Melayu yang mungkin diserap dalam pelbagai interaksi antara penduduk di negeri-negeri Melayu dengan penutur bahasa Tamil atau bahasa India Selatan lain seperti Malayalam atau Telugu dari abad ke-12 masihi hingga abad ke-19 masihi. Contoh perkataan yang diserap adalah seperti emak (amma), kakak (akka), cerupu, cerut, kedai, mangga atau mempelam.
Pinjaman atau Serapan dari Bahasa Asia Barat
Bahasa Arab juga mempunyai serapan sama ada semulajadi atau secara paksa dalam bahasa Melayu. Hal ini terjadi dengan penyebaran agama Islam oleh pedagang serta pendakwah sufi dari Yaman atau rantau lain di negeri-negeri Melayu. Contoh perkataan yang diserap dari bahasa Arab adalah seperti masjid, kitab, ilmu, iman, zakat, dan banyak lagi.
Istilah dari bahasa Arab kebanyakannya merangkumi istilah keagamaan, istilah pentadbiran dan istilah ilmiah. Penutur bahasa Melayu yang berlatar belakangkan pendidikan agama Islam selalunya akan bertutur dalam bahasa Melayu yang berbau Arab jika dibandingkan dengan penutur bahasa Melayu yang biasa.
Dalam pada itu, bahasa Parsi juga membekalkan kata serapan ke dalam bahasa Melayu hasil dari penjelajahan pedagang dari Iran atau pedagang Parsi yang tinggal di India. Contoh perkataan serapan dari bahasa Parsi adalah seperti anggur, badam, bandar, dewan, haram jadah (anak haram), syahbandar (kastam), dan banyak lagi.
Kebanyakan perkataan ini boleh didapati dalam sastera hikayat yang ditulis dalam bahasa Melayu Klasik yang bertulisan Jawi.
Pinjaman dari Bahasa Eropah Barat
Orang Portugis adalah antara bangsa Eropah Barat yang terawal tiba di rantau Asia Tenggara dan Asia Timur. Di Semenanjung Tanah Melayu, mereka mengawal pelabuhan Melaka pada abad ke-15 masihi. Oleh itu, hampir 400 perkataan dari bahasa Portugis diserap ke dalam bahasa Melayu khususnya bahasa Melayu Melaka dan bahasa Melayu Johor-Riau. Contoh perkataan serapan dari bahasa ini adalah seperti almari (armario), armada, garfu (garfo), gereja (igreja), jendela (janela), keju (queijo), escola (sekolah), dan sudu (sodo).
Dalam abad ke-16 masihi, Belanda pula datang ke Asia Tenggara dan mula mencari pusat untuk menjalankan perdagangan di Timur. Mereka membangunkan pusat di Batavia Hindia Belanda atau Betawi yang kini berada dalam Republik Indonesia. Walaupun bahasa Belanda tidak menjadi bahasa harian di Indonesia pada zaman moden, namun pengaruh dari bahasa ini turut memberikan impak kepada bahasa Melayu di Indonesia serta bahasa kebangsaan Indonesia sendiri iaitu bahasa Indonesia. Kosa kata bahasa Belanda yang diserap ke dalam bahasa Melayu khususnya bahasa Melayu di Melaka dan bahasa Melayu di Kepulauan Riau adalah seperti buku (boek), duit (doee), kabin (cabin), dan kontrak (contract).
Selanjutnya, bahasa Inggeris pula mempengaruhi bahasa Melayu di Malaysia, Singapura dan Brunei yang mana Britain menjadi negara induk bagi empayar British yang melindungi rantau yang merupakan negara kota orang Melayu serta negeri-negeri selat atau koloni British di Asia Tenggara. Perkataan bahasa Inggeris semestinya diserap ke dalam bahasa Melayu di rantau-rantau ini apatah lagi kini bahasa Inggeris menjadi bahasa komunikasi antarabangsa. Perkataan bahasa Inggeris yang diserap ke dalam bahasa Melayu Moden di Malaysia adalah seperti bank, emel (email), internet, komputer (computer), dan stesen (station).
Serapan dari Bahasa-Bahasa Cina
Hubungan perdagangan dengan pedagang Cina pada zaman klasik dan juga kemasukan buruh dari China semasa abad ke-19 masihi menyebabkan bahasa Melayu menyerap istilah dari kebudayaan Cina untuk bahan-bahan seperti bahan makanan dan bahan kegunaan. Contohnya seperti tauhu atau taukua, tocang, mee, dan lombong. Perkataan bahasa Cina yang diserap pada zaman klasik kebanyakannya adalah dari bahasa Cina (Minnan) dari bahagian Selatan China seperti dari wilayah Fujian. Pada zaman moden, penutur bahasa Melayu khususnya di Kuala Lumpur menyerap perkataan bahasa Cina (Yue) dari wilayah Guangdong seperti kamceng (kawan rapat), pokai (bangkrap), dan tapau (bungkus).