Polemik Bahasa Melayu

Rencana ini sumbernya dipetik dari seorang pengguna dari Yogyakarta, Jawa Tengah di Republik Indonesia di platform Quora berjudul, "Hazami Jahari, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka berkata bahawa, 'Malaysia ini negara yang paling pelik di dunia kerana, kita mempunyai bahasa sendiri, namun kita malu menggunakannya.'" Pengguna tersebut membangkitkan persoalan sama ada, anda bersetuju dengan kenyataan oleh Hazami Johari bahawa Malaysia adalah negara yang paling pelik di dunia berkenaan dengan penggunaan bahasanya?

Menurut pengguna tersebut, "beliau tidak bersetuju dengan kenyataan bahawa Malaysia adalah negara paling pelik di dunia kerana sekurang-kurangnya warganegara Malaysia berasa malu untuk mengakui khayalan Dewan Bahasa dan Pustaka itu sebagai hakikat."

Seterusnya, dia menempelkan petikan dari karya Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA) yang aku tidak pasti sumbernya dari mana. Petikan tersebut memaparkan pandangan HAMKA mengenai sikap dengki orang Melayu atau suku kaum lain di Asia Tenggara yang menurut pengguna itu, menambahkan kemunduran mereka.

Tidak dapat dipastikan apakah kaitan dengki atau iri hati yang dimaksudkan oleh penulis itu dengan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia atau perkaitannya dengan penolakan orang bukan Melayu terhadap bahasa Melayu walaupun ia adalah bahasa kebangsaan di Malaysia. Namun, aku rekodkan juga maklum balas pengguna itu di sini sebagai rujukan bagi kegunaan penyelidik dasar bahasa di Malaysia atau pembuat dasar bahasa yang tidak faham bahasa bahawa Indonesia tidak mahu bahasa mereka dituntut sebagai bahasa Melayu. 

Pandangan dari pengguna ini adalah cerminan dari persepsinya sebagai seorang warganegara asing. Dia boleh jadi salah, betul atau kedua-duanya sekali. Jadi, tuan dan puan fikirlah dengan pemikiran jernih sendiri apabila membaca pandangannya. Sekian, terima kasih.