Bahagian Pentadbiran Utama Malaysia

Selanjutnya, Pentadbiran Utama atau Principial Administrative Division di Malaysia terbahagi kepada negeri dan wilayah persekutuan. Malaysia ini adalah satu persekutuan yang terbentuk daripada 13 buah negeri dan tiga wilayah persekutuan.

Sebanyak 11 buah negeri dan dua buah wilayah persekutuan berada di Semenanjung Tanah Melayu atau disebut sebagai Semenanjung Malaysia atau Malaysia Barat sahaja. Manakala, dua lagi negeri berada di Pulau Borneo dengan satu wilayah persekutuan yang mengandungi kepulauan berada di pesisir pantai Borneo digelar sebagai Malaysia Timur atau Malaysia Borneo. Sebanyak sembilan daripada 13 buah negeri di Malaysia mengamalkan sistem pentadbiran secara beraja atau monarki yang diwarisi oleh mereka secara turun temurun.

Setiap negeri ini pula dibahagikan kepada daerah yang terpecah pula kepada bahagian lain yang lebih kecil disebut sebagai mukim. Di Sabah dan Sarawak pula, daerah mereka dikelompokkan ke dalam beberapa bahagian.

Dari segi sejarah pentadbiran Malaysia juga, Singapura pernah menyertai pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 hingga ia ditendang keluar daripada Persekutuan Malaysia pada 9 Ogos 1965. Semasa Singapura menjadi sebahagian daripada Malaysia, ia telah pun mempunyai autonomi dalam bidang pendidikan serta tenaga buruh. Singapura menjadi negeri yang terkecil di Malaysia namun populasinya besar pula.

Selain itu, Kesultanan Brunei juga pernah dijemput menyertai pembentukan Malaysia namun ia memilih untuk menolak jemputan ini disebabkan oleh beberapa isu seperti status Sultan Brunei dalam Malaysia, pembahagian royalti minyak petroleum Brunei dan tekanan daripada kumpulan pembangkang di Brunei hingga tercetusnya Pemberontakan Brunei.