Malaysia mempunyai masyarakat yang pelbagai bangsa, budaya dan bahasa. Pengaruh daripada budaya Cina dan India yang agak besar boleh dijejaki daripada bermulanya perdagangan asing. Pengaruh budaya lain yang kelihatan di Malaysia termasuklah budaya Parsi, Arab dan Inggeris.
Oleh kerana struktur kerajaan yang diikuti dengan teori kontrak sosial, asimilasi budaya dalam kalangan etnik minoriti di Malaysia berada di tahap minima. Selain itu, berlaku juga pertikaian kebudayaan antara Malaysia dengan negara jirannya terutama sekali dengan Republik Indonesia.
Pada tahun 1971, kerajaan telah mencipta "Dasar Kebudayaan Kebangsaan" yang mendefinisikan budaya Malaysia. Ia menyatakan bahawa budaya Malaysia haruslah didasarkan kepada budaya orang asal di Malaysia, yang mungkin juga menjalinkan elemen yang bersesuaian daripada budaya lain, serta Islam mestilah menjadi sebahagian daripadanya. Di samping itu, kerajaan juga mempromosikan Bahasa Melayu kepada semua.
Campur tangan kerajaan dalam isu budaya ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan warganegara Malaysia yang bukan berbangsa Melayu. Mereka merasakan bahawa kebebasan budaya mereka dikekang oleh kerajaan. Beberapa pertubuhan Cina dan India di Malaysia pun menghantar memorandum kepada kerajaan, serta menuduh bahawa kerajaan memformulasikan dasar budaya yang tidak demokratik.
Industri Perfileman di Malaysia
Perfileman di Malaysia mengandungi filem cetera yang dihasilkan di Malaysia dan dirakamkan dalam bahasa seperti bahasa Melayu, pelbagai bahasa Orang Asli atau Orang Asal (OA), bahasa Inggeris, bahasa Cina Mandarin, bahasa Cina Kantonis, atau bahasa Tamil.
Malaysia menghasilkan kira-kira 60 buah filem cetera dan antara 300 hingga 400 drama televisyen serta siri setiap tahun, sebagai tambahan kepada penerbitan dalam daripada stesen televisyen persendirian. Malaysia juga menganjurkan anugerah filemnya sendiri di peringkat nasional setiap tahun yang dikenali sebagai Festival Filem Malaysia. Terdapat kira-kira 150 panggung wayang gambar dan kompleks wayang di Malaysia yang menayangkan kedua-dua filem yang diterbitkan dalam negara dan filem terbitan negara asing. Penerbit filem asing dialu-alukan untuk merakamkan filem di lokasi di Malaysia dan menjalankan kerjasama penerbitan filem. Hal ini memberikan peluang kepada artis tempatan dan pekerja tempatan yang memegang peranan teknikal mendapatkan pengalaman dari segi pendedahan serta pengalaman kepada kerjaya mereka.
Hingga kini, pelakon terkenal dari Malaysia yang memenangi Academy Award adalah seperti Michelle Yeoh dan Henry Golding.